Isnin, 1 Ogos 2016 | 2:15pm

Rayyan pendengar setia Rita Rudaini

RITA Rudaini Mokhtar bersama Airit Rayyan Rizqin (kanan) dan Airit Rafqa Arjuna (kanan) di restoran miliknya Rumah Kuih di Sunway Nexis Kota Damansara. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Empat tahun bergelar ibu tunggal, Rita Rudaini tidak terlepas daripada memendam rasa dan insan terdekat menjadi tempat mengadu selain abang kandung adalah permata hati sulung, Airit Rayyan Rizqin.

Walaupun baharu mencecah tujuh tahun, anak pertama daripada dua bersaudara itu bagai mengerti perasaan si ibu malah sentiasa di sisi mendengar serta berkongsi segala cerita sekali gus mengurangkan gelodak jiwanya.

"Keluarga terdekat adalah orang yang tidak akan meninggalkan kita. Biar menjalani kehidupan serba lengkap sekarang, kadang kala ada masa kita runsing. Bukan maknanya membabitkan hal peribadi saja, mungkin berkaitan perniagaan atau sekeliling.

"Biasanya kalau saya susah hati, saya cari abang kandung yang sedia berkongsi apa saja selain isterinya. Tetapi saya faham, mereka jauh. Jadi paling dekat ialah anak sulung, Rayyan. Dialah tempat saya bercerita malah bijak melayan. Setiap makalum balasnya sudah cukup membuatkan saya gembira.

"Biar Rayyan masih terlalu muda, seolah-olah dia memahami situasi yang saya lalui. Jadi apabila orang kaitkan sunyi dengan tiada kekasih, secara jujur saya akui bahagia dengan cara sekarang kerana tidak perlu pening kepala.

"Andai ada masalah pun, saya masih ada keluarga dan anak-anak. Daripada bersuami pun benda kecil boleh jadi perang besar, lebih baik saya hidup sendiri begini," katanya yang kini mengusahakan restoran Rumah Kueh.

Begitupun, dedah pelakon terbabit, tahun pertama bergelar janda adalah fasa yang agak sukar dilalui sekali pun sebelum itu sudah bertahun ditinggalkan lelaki bergelar suami.

"Sebelum bercerai saya sudah berehat daripada lakonan kerana mengikut kata suami supaya duduk di rumah. Tetapi syukur saya ada duit simpanan sedikit untuk meneruskan kehidupan.

"Dulu ada juga aset serta duit yang saya kongsi bersama bekas suami untuk menampung perbelanjaan harian secara bersama. Namun selepas menggalas tugas bapa dan ibu dalam satu masa, saya perlu buat sesuatu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Kesukaran menyara dan menjaga anak sendirian tiada tetapi takkan perkara itu pun saya nak jaja. Orang di luar hanya melihat kehidupan artis serba mewah. Saya pula lebih suka bersederhana. Ikhlas cakap, saya beli setakat yang mampu, janji lepas sara anak," katanya.

Demi masa depan anaknya termasuk Airit Qaqa Arjuna, 5, Rita bangkit dengan produk penjagaan kulit, kopi dan kolagen selain memiliki jenama minyak wangi Adorable by Rita Rudaini, selain koleksi pewarna bibir di bawah nama Gincu Gincu by Rita Rudaini.

Berita Harian X