Isnin, 1 Ogos 2016 | 7:01pm
Pereka fesyen Ezuwan Ismail akrab dengan supermodel Nasha Aziz.
Pereka fesyen Ezuwan Ismail akrab dengan supermodel Nasha Aziz.

Nasha Aziz masih pencetus ilham fesyen - Ezuwan Ismail

Pereka fesyen Ezuwan Ismail akrab dengan supermodel Nasha Aziz.

KUALA LUMPUR: Biar kelibat peragawati berpengalaman, Nasha Aziz, kini jarang terlihat di pentas peragaan, Ezuwan Ismail selaku pereka fesyen menyimpan niat meneruskan kerjasama dengan pelakon berkenaan.

Katanya, sebagai orang lama dalam industri fesyen tempatan selain pernah bekerja dengan jenama antarabangsa, aura pemilik nama penuh Noraishah Abdul Aziz itu dilihat masih kental sebagai model.

"Bagi saya Nasha masih menjadi muse atau wajah ilham dalam industri fesyen, malah saya tidak teragak-agak memilihnya untuk koleksi terkini saya, Paloma, yang dilancarkan Mei lalu berikutan keistimewaan yang ada padanya.

"Menjalin kerjasama dengannya juga sangat lancar sedari awal kami berurusan, iaitu bermula dengan menghantar surat dan kertas cadangan semuanya dilakukan secara profesional.

"Selepas pertunjukan pentas tamat, persahabatan kami terus erat. Beliau seorang yang bukan saja mudah memberikan kerjasama, malah di luar tugasan adalah rakan yang baik," kata pereka yang berpengalaman lebih enam tahun di bidang fesyen itu.

Terdahulu, sebagai model berpengalaman yang menyerlah dalam industri perfileman Nasha dikatakan agak selektif terutama membabitkan soal kerja hingga ada yang terkejut apabila beliau boleh rapat dengan pereka terbabit.

"Kami kenal rapat beberapa minggu sebelum berlangsungnya pertunjukan fesyen koleksi Paloma, tetapi sebelum itu beliau pernah menjalani penggambaran sebuah drama di butik saya.

"Waktu itu kami tidak bercakap banyak pun disebabkan saya enggan mengganggu penggambaran. Kebetulan, pada sebuah acara fesyen tidak lama kemudian saya bertemunya kembali dan terus mengundangnya sebagai muse pertunjukan fesyen saya," katanya yang menganggap Nasha sebagai ikon model.

Berita Harian X