Selasa, 2 Ogos 2016 | 1:11pm

MBJB bina bangunan pejabat baharu RM308 juta


DATUK Bandar MBJB, A Rahim Nin menunjukkan poster model bangunan baru Menara MBJB yang akan di bina tidak lama lagi selepas sidang media di Dewan Inai Merah MBJB, Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membina bangunan pejabat baharu 14 tingkat bernilai kira-kira RM308 juta di Bukit Senyum, dekat sini.

Majlis menandatangani perjanjian di antara MBJB dan Astaka Padu Holdings (Astaka Padu) bagi projek berkenaan diadakan di Dewan Inai Merah MBJB, di sini hari ini.

MBJB diwakili Datuk Bandar, A Rahim Nin, manakala Astaka Padu oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zamani Kasim.

Yang hadir menyaksikan majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi dan Pengerusi Eksekutif Astaka Padu, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman.

A Rahim berkata, bangunan sedia ada sudah beroperasi hampir 53 tahun dan tidak dapat menampung keperluan semasa.

"Pembinaan bangunan baharu MBJB ini dijangka dimulakan awal tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya penghujung 2019. Menara 14 tingkat ini turut mengandungi 558 unit tempat letak kenderaan untuk kakitangan dan orang awam," katanya.

A Rahim berkata, ia juga turut dilengkapi kemudahan auditorium dengan kapasiti 300 orang dan dewan yang boleh memuatkan 1,000, selain galeri, ruang mesyuarat serta Mahkamah Bandaraya.

"Bangunan sedia ada akan dikekalkan sebagai pejabat cawangan MBJB dan pejabat lain," katanya.

Berita Harian X