Selasa, 2 Ogos 2016 | 6:19pm

MBI jadi PBT pertama peroleh Sijil Pematuhan SAGA


Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminudin Hashim (kiri) bersama (dari kiri) Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd Ghazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man semasa majlis sambutan rumah terbuka MB Inc ditapak kawasan kapal korek Tanjung Tualang atau TT5. - Foto Supian Ahmad

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diiktiraf sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama memperoleh Sijil Pematuhan 'Standard Accounting System For Government Agencies' (SAGA) bagi Sistem Perakaunan dan Kewangan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, berkata pengiktirafan diperoleh pada 18 Julai lalu itu menggambarkan penyata kewangan MBI dapat disediakan dengan cepat, tepat, kemas kini dan berintegriti dengan menggunakan kod perakaunan ditetapkan.

Katanya, kejayaan itu hasil kerja berpasukan bahagian pengurusan kewangan MBI yang mantap.

"Jawatankuasa Pematuhan SAGA membuat lawatan bagi menilai Sistem Perakaunan dan Kewangan MBI, iaitu Sistem SPBT (Sistem Bersepadu Pihak Berkuasa Tempatan) supaya memenuhi kriteria Pematuhan SAGA yang ditetapkan.

"Dengan penilaian yang dibuat oleh jawatankuasa terbabit, sistem SPBT MBI sudah memenuhi kriteria Pematuhan SAGA," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Katanya, pelaksanaan, pemantauan dan Pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi agensi kerajaan SAGA adalah selaras dengan pemakaian Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 2 Tahun 2015.

123 dibaca
Berita Harian X