Rabu, 3 Ogos 2016 | 1:03pm

Malaysia anjur Minggu Keusahawan hujung tahun ini

JAKARTA: Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia akan menganjurkan Minggu Keusahawanan di Kuala Lumpur pada 31 Oktober hingga 3 November ini.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu yang pertama seumpamanya, dianjurkan Kementerian Kewangan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF).

Minggu Keusahawanan Malaysia akan bermula dengan WIEF IdeaLab pada 31 Oktober dan 1 November ini, diikuti dengan forum Komuniti Keusahawanan Global atau 'GECommunity' pada 2-3 November.

"Seiring dengan pertumbuhan pesat pasaran di seluruh Asia, acara ini bertujuan menyelaras rundingan berhubung aliran pelaburan dan mempertemukan pelabur swasta dan syarikat pemula inovatif....dari situ sama-sama kita lihat hasil yang tercetus daripada pertemuan berkenaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada pra-pelancaran GECommunity 2016, acara sampingan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) yang sedang berlangsung di sini hingga esok.


NAJIB, Irwan Serigar (kiri) dan Musa pada majlis pra-pelancaran GECommunity di Jakarta. - Foto BH Online

Hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. Turut hadir Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam; Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Najib berkata, GECommunity adalah sebahagian daripada inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang disasarkan menjadi sidang kemuncak peringkat tinggi yang mengumpulkan kapten perniagaan, pembuat dasar dan tokoh masyarakat untuk merumus dan mereka semula masa depan keusahawanan.

Ia akan menumpukan kepada beberapa kluster termasuk Bioteknologi, Makanan dan Pertanian; Peruncitan dan Pelancongan, Bandaraya Bestari, Sumber Alternatif; Pendidikan dan Kewangan; Media dan Industri Kreatif; Penjagaan Kesihatan dan Pengangkutan dan Logistik.

"Seratus kapten industri, pakar dan pembiaya akan berkumpul di Kuala Lumpur, dan menjadi harapan kita ia akan menjadi pemangkin ke arah kerjasama global sebenar, sekali gus membuka peluang lebih besar kepada usahawan dalam ekonomi pada masa depan.


DARI kiri; Musa, Najib, Irwan Serigar dan CEO MaGic, Ashran Ghazi pada pelancaran GECommnunity. - Foto BH Online

"GECommunity akan diakhiri dengan Anugerah Syarikat Pemula Global, di mana kita akan raikan syarikat pemula terbaik dunia, yang sudah dipilih selepas pemilihan dan penilaian selama berbulan-bulan," katanya.

Perdana Menteri berkata, Minggu Keusahawanan Malaysia bermatlamat menyuburkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan kemakmuran menerusi usaha melahirkan genarasi baharu usahawan berjaya dan menyediakan sokongan tambahan serta galakan kepada yang kini aktif.

"Kita mahu lihat keusahawan subur pada setiap peringkat masyarakat dan di seluruh negara. Di bandar raya dan bandar...juga di kampung dan kawasan pedalaman. Mengupayakan lelaki dan wanita. Di setiap peringkat umur," kata Perdana Menteri.

31 dibaca
NAJIB, Irwan Serigar (kiri) dan Musa pada majlis pra-pelancaran GECommunity di Jakarta. - Foto BH Online
Berita Harian X