Rabu, 3 Ogos 2016 | 4:02pm

Majikan gaji OKU dapat pelepasan cukai


MAJIKAN yang menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 50,000 pekerja orang kurang upaya (OKU) akal, diberi pelepasan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak dua kali ganda. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 50,000 pekerja orang kurang upaya (OKU) akal, diberi pelepasan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak dua kali ganda.

Pengarah Standard Perburuhan, Kementerian Sumber Manusia, Wan Zulkifli Wan Setapa, berkata majikan turut diberikan pelepasan cukai satu per 10 daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan menyediakan kemudahan seperti tandas dan bangunan mesra OKU setiap 10 tahun.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif lain bakal diperoleh majikan sekiranya mereka menjalin kerjasama dengan pusat latihan di seluruh negara bagi menggajikan graduan OKU.

"Kerajaan menggalakkan majikan menggajikan OKU bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja produktif dalam negara, selain menyediakan 33 peratus tenaga kerja mahir dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Sehingga kini, bilangan pekerja OKU dalam sektor awam masih jauh daripada sasaran. Kementerian tidak pasti sasaran dasar di sektor swasta, namun kita menggalakkan majikan swasta memberi peluang pekerjaan kepada OKU dengan gaji setimpal pekerja lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama di antara Azmida Training Centre (Azmida) dan Yayasan Minda, di sini hari ini.

Perjanjian ditandatangani Penasihat Yayasan Minda, Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah dan Pengarah Urusan Azmida, Mohd Azmi Md Eusoff.

Berita Harian X