Rabu, 3 Ogos 2016 | 4:15pm

Nadya Syahera hidapi cyst, perlu dibedah

PELAKON baharu, Nadya Syahera. - Foto Nazran Jamel

KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Nadya Syahera, 22, berehat sebentar daripada dunia seni selepas disahkan oleh doktor menghidapi cyst atau bengkak kelenjar.

Hampir seminggu terlantar di rumah, Nadya yang dihubungi sebentar tadi mengakui sakitnya bertambah teruk dan beliau perlu melalui pembedahan secepat mungkin.

Namun, tarikh dan lokasi pembedahan belum dapat dipastikan kerana beliau sedang menunggu jawapan daripada pihak hospital.

"Saya tidak tahu punca kesakitan saya dan sehingga kini saya masih lagi berehat di rumah. Kalau nak katakan saya terlalu sibuk dengan kerja, tidak juga. Mungkin kerana saya kurang minum air.

"Baru-baru ini, saya tidak selera makan, jadi badan pun jadi lemah. Mungkin ia juga antara sebab macam-macam penyakit datang. Berat badan saya juga sudah turun tujuh kilogram," katanya.

Tambah Nadya, sebelum ini beliau pernah mengalami kesakitan, tetapi masih mampu bekerja.

"Kali ini sakitnya berbeza, sampai hendak berjalan pun saya perlu dipimpin," katanya.

Nama Nadya mula menjadi bualan peminat hasil lakonannya sebagai Bella dalam drama Dia Semanis Honey.

Selain itu, beliau juga membintangi drama seperti Jodoh Sebelah Pintu, Isteri Separuh Masa dan Maafkan Aku Tidak Sempurna.

Berita Harian X