Rabu, 3 Ogos 2016 | 8:02pm

UMT, UTP, BV kongsi kepakaran lakukan kajian

NAIB Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar bertukar memorandum bersama Naib Canselor UTP, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi tujuan terbabit diadakan di kampus UMT cawangan Putrajaya, Putrajaya, hari ini. - Foto Samadi Ahmad

PUTRAJAYA: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalin kerjasama akademik dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Bureau Veritas Malaysia Sdn Bhd (BV) bagi menjalankan penyelidikan bertaraf antarabangsa.

Sehubungan itu, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi tujuan terbabit diadakan di kampus UMT cawangan Putrajaya, di sini hari ini.

Asas utama kerjasama itu adalah berkongsi kepakaran bagi menggalakkan aspek guna sama sumber sedia ada, sekali gus menjimatkan perbelanjaan.

Mewakili UMT ialah Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar; UTP diwakili Naib Canselor, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim, manakala Ketua Eksekutif Negara BV, Othman Abdul Kadir mewakili BV.

Nor Aieni berkata, kerjasama berasaskan bidang kepakaran yang dimiliki masing-masing itu dapat menghasilkan penyelidikan bermutu tinggi, sekali gus melonjakkan tahap UMT ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, perkongsian kepakaran penyelidikan berkaitan maritim dan laut dalam itu dimeterai untuk tempoh tiga tahun dan diharap mencapai kecemerlangan.

"Melalui kajian yang akan dibuat, UMT akan menyumbang kepakaran dalam bidang maritim, manakala UTP dalam bidang kejuruteraan dan BV pula berkepakaran dalam bidang pengkelasan kapal serta teknologi maklumat," katanya.

Berita Harian X