Rabu, 3 Ogos 2016 | 8:55pm

Piawaian tadbir urus korporat dipertingkat - BNM

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan piawaian yang ditambah baik bagi meningkatkan tahap tadbir urus korporat merentas institusi kewangan.

Menurut bank pusat itu, tadbir urus yang baik adalah komponen penting bagi institusi kewangan yang teguh dan memainkan peranan penting bagi mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan.

Katanya, piawaian yang disemak mengukuhkan syarat untuk lembaga pengarah yang mantap dan berkesan, dengan lebih penekanan diberikan terhadap budaya risiko mantap serta sistem saraan dalam usaha menggalakkan pengambilan risiko yang berhemat.

"Selain itu, piawaian ini menangani isu yang timbul daripada struktur organisasi yang lebih kompleks serta model perniagaan institusi kewangan yang berkembang dari segi saiz dan merentasi sempadan," demikian menurut BNM dalam kenyataan, hari ini.

BNM menambah, secara kolektif, piawaian dipertingkat itu bertujuan menetapkan piawai emas bagi tadbir urus korporat di Malaysia, sejajar dengan peranan penting institusi kewangan dalam sistem kewangan dan ekonomi yang lebih luas.

Perubahan utama yang diperkenalkan dalam piawaian itu termasuk;

* Mengukuhkan keperluan terhadap komposisi lembaga pengarah, termasuk keperluan bagi lembaga pengarah diwakili oleh majoriti ahli lembaga pengarah bebas;

* Keperluan yang dipertingkat bagi lembaga pengarah dan jawatankuasa lembaga, termasuk keperluan untuk melulus dan mengekalkan rancangan pemulihan serta penyelesaian yang berwibawa dalam keadaan tekanan;

* Keperluan bagi lembaga pengarah untuk menetapkan had tempoh bagi ahli lembaga pengarah bebas yang secara amnya tidak harus melebihi sembilan tahun;

* Keperluan bagi institusi kewangan untuk menerima pakai kod etika yang menggalakkan tingkah laku beretika, berhemat dan profesional, disokong oleh dasar penyampaian maklumat telus;

* Keperluan yang diperluas mengenai pengaturan saraan yang menggalakkan budaya risiko yang mantap dan sejajar dengan pengambilan risiko secara berhemat; dan

* Keperluan yang diperkukuh bagi pengaturan tadbir urus yang berkesan di seluruh kumpulan.

BNM menambah, piawaian yang dipertingkat itu akan berkuat kuasa serta-merta.

"Bagaimanapun, terdapat keperluan tertentu yang tertakluk kepada tempoh peralihan," katanya.

Berita Harian X