Rabu, 3 Ogos 2016 | 9:16pm

Erdogan minta maaf kerana pernah bekerjasama dengan Gulen


Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (kiri) dan Fethullah Gulen.

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memohon maaf di atas kesilapan lalu kerana pernah bekerjasama dengan ulama Fethullah Gulen yang dituduh Ankara sebagai dalang cubaan rampasan kuasa bulan lalu.

Erdogan dengan rasa rendah hati mengaku beliau gagal melihat 'wajah sebenar' Gulen yang bekerjasama rapat dengan orang kuat Turki ketika beliau menjadi Datuk Bandar Istanbul pada 1990-an.

Malah selepas parti pimpinannya, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) berkuasa pada 2002.

Gulen yang hidup dalam buangan sejak 1999 selepas pertuduhan dibuat terhadapnya oleh pihak berkuasa Turki, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilempar itu.

"Sebalik semua yang sudah berlaku, saya berasa sedih kerana gagal untuk mendedahkan wajah sebenar organisasi pengkhianat ini satu ketika dahulu," kata Erdogan dalam ucapannya menerusi televisyen merujuk kepada gerakan Gulen yang disifatkan Turki sebagai kumpulan pengganas.

Katanya, beliau sedar sebagai umat Islam tanggungjawab terbahagi dua iaitu antara Tuhan dan manusia. Beliau berharap Tuhan dan rakyatnya memaafkan kesalahan sebelum ini. - AFP

Berita Harian X