Khamis, 4 Ogos 2016 | 6:24pm

Nabila Huda bersyukur bakat dihargai FFM 28


NABILA Huda sudah 13 tahun berkecimpung dalam arena lakonan tempatan. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Setelah 13 tahun berkecimpung dalam arena lakonan tempatan, Nabila Huda bersyukur apabila namanya turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28.

Nabila atau nama penuhnya, Nabila Huda Suhaimi, 32, berkata beliau sudah lama mengintai peluang untuk diiktiraf menerusi produk lakonannya.

"Saya sudah lama menyimpan impian untuk dicalonkan dalam anugerah berprestij seperti FFM kerana pemenang dinilai oleh juri profesional. Menang atau kalah bukanlah perkara utama, sebaliknya pencalonan itu sendiri ibarat penghargaan buat saya.

"Bagi saya, berada sebaris bersama pelakon wanita hebat lain sudah boleh diibaratkan sebagai pengiktirafan. Sekurang-kurangnya bakat saya sedikit sebanyak sudah diberikan perhatian.

"Mungkin dulu ada yang menganggap saya tidak memandang serius kerjaya sebagai pelakon. Apa pun, saya sangat bersyukur kerana penat-lelah bersengkang mata mencari rezeki akhirnya membuahkan hasil," kata Nabila.

Bintang filem Munafik itu menjelaskan, beliau turut terharu apabila bakat seni yang dipertaruhkan akhirnya membuka mata masyarakat dan kini dirinya tidak hanya dipandang sebagai artis kontroversi semata-mata.

Selain Nabila, kategori ditandinginya itu turut menyenaraikan Maya Karin menerusi filem Nota dan Jwanita, Lisa Surihani (Suamiku Encik Perfect 10) dan Nadiya Nisaa (Love Supermoon).

Dalam pada itu, Munafik arahan Syamsul Yusof mendapat sembilan pencalonan menerusi kategori Filem Terbaik FFM 28, Pengarah Terbaik FFM 28, Pelakon Wanita Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Lagu Tema Asal Terbaik dan Kesan Visual Khas Terbaik.


NABILA (kiri) bersama pengarah filem Munafik, Shamsul Yusof. - Foto Munira Abdul Ghani

/ends/

Berita Harian X