Khamis, 4 Ogos 2016 | 9:43pm

Mahkamah Turki keluar waran tangkap Gulen


GAMBAR fail, ulama berpusat di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen. - Foto AP

ANKARA: Sebuah mahkamah Turki mengeluarkan waran rasmi hari ini untuk menahan ulama berpusat di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen, yang dituduh kerajaan menjadi dalang rampasan kuasa yang digagalkan 15 Julai lalu.

Cubaan rampasan itu menyebabkan lebih 300 orang maut manakala lebih 2,100 lagi cedera.

Kerajaan Turki berkata, Gulen, bekas sekutu Presiden Recep Tayyip Erdogan yang tinggal dalam buangan di Pennsylvania, menjadi perancang cubaan rampasan gagal oleh pegawai tentera pembelot dan mahu ulama itu diekstradisi.

Gulen sebaliknya menafikan pembabitannya atau mengetahui rancangan rampasan.

Turki masih belum membuat permohonan ekstradisi rasmi, namun waran tangkap itu mungkin menjadi permulaan untuk tindakan berikutnya.

Washington meminta bukti pembabitannya sebelum proses ekstradisi boleh dilakukan.

Turki melabel pergerakan Gulen yang mengendalikan badan kebajikan, sekolah dan perniagaan di seluruh dunia sebagai organisasi pengganas dan melancarkan tindakan keras meluas ke atas anggota disyaki membelot sejak insiden itu.

Sejak cubaan penggulingan, hampir 70,000 orang digantung kerja atau dipecat dalam perkhidmatan awam, kehakiman, pendidikan, penjagaan kesihatan, tentera dan media manakala 18,000 lagi ditahan, kebanyakannya askar kerana disyaki terbabit.

Terdahulu hari ini, Erdogan berikrar untuk menumpaskan rangkaian perniagaan dikaitkan dengan pergerakan Gulen. - AP

Berita Harian X