Isnin, 17 November 2014 | 3:41pm

Mesyuarat ITRC timbang cadangan penubuhan pasaran getah serantau

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Menteri-Menteri Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) Ke-12 di sini pada Khamis dijangka mempertimbang cadangan penubuhan pasaran getah serantau.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata cadangan itu yang akan menyediakan penetapan harga dan aktiviti lindung nilai, adalah antara isu yang akan dipertimbangkan pada mesyuarat itu.

"Mesyuarat itu turut dijangka menimbang memperkukuh analisis statistik di bawah ITRC dan meninjau kerjasama dengan negara pengeluar getah asli lain di ASEAN termasuk Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam (CMLV)," katanya.

Sementara itu, mesyuarat itu dijangka menumpukan kepada perbincangan bagi mengkaji kemajuan pelaksanaan skim pengurusan penawaran yang bertujuan mengimbangi penawaran dan permintaan getah asli bagi jangka masa panjang.

Bidang lain termasuk impak pelaksanaan Skim Jumlah Eksport yang Dipersetujui (AETS) sebagai langkah jangka pendek untuk memperkukuh harga getah asli serta kerjasama untuk meningkatkan penggunaan domestik getah asli dan pertukaran maklumat mengenai pembangunan produk baharu.

ITRC dan negara CLMV secara kolektif menyumbang 73 peratus daripada pengeluaran getah asli global. - BERNAMA

Berita Harian X