Sabtu, 6 Ogos 2016 | 11:02am

Food truck garden bantu anak muda berniaga


KOLONI Karyawan Amanjaya (PORT) mengadakan majlis 'Garden Festive Celebration 2016' bagi beramah mesra dengan orang ramai serta komuniti PORT dengan lebih rapat. - Foto BERNAMA

IPOH: Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) menyediakan ruang dan tapak medan selera berkonsepkan 'food truck garden' untuk membantu menjana pendapatan anak muda.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata ia dapat mengetengahkan 'food truck garden' menjadi satu-satunya medan selera di bandar raya ini yang berkonsepkan taman dengan jualan makanan dalam trak.

"Konsep menjual makanan dan minuman menggunakan trak atau lori adalah unik kerana ia lain daripada konsep perniagaan sedia ada.

"Jadi, PORT mengambil inisiatif ini untuk membantu usahawan trak makanan yang rata-ratanya anak muda tempatan dengan menyediakan lokasi, sekali gus memberi peluang orang ramai merasai produk makanan mereka di bawah satu bumbung," katanya ketika berucap pada majlis 'Garden Festive Celebration 2016' di pekarangan PORT di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah PORT berkata, antara trak makanan yang dibuka di pekarangan PORT itu ialah Freddo, Ali Yeh Yeh, The Hut, Meltshack, Chef Uni Ayam Garam, Puffer On The Move, The Golfer Chef, Sneak Out, Coffee Ride dan Old School Coffee.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir dan melawat tapak 'food truck garden' di program berkenaan, selain menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dari Pertubuhan Baitul Muroqah serta plak apresiasi kepada komuniti dan rakan strategik PORT.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Zainol Fadzi berkata, program itu turut memperkenalkan konsep 'Garden Market' yang secara rasminya bermula malam tadi dan akan diteruskan pada setiap hujung minggu.

"Program ini berkonsepkan pasar malam yang mengumpulkan pelbagai jenama pakaian dan barangan hasil anak muda tempatan. Antara jenamanya adalah Big Bro, Wanrepublik, Puak Ipoh, Kolek, Norlela Tie Dye and Craft, PGadget dan Siti Fara Preloved," katanya.

Berita Harian X