Sabtu, 6 Ogos 2016 | 5:27pm

Festival Jom Makan Sampai Hongeh tarik 6,000 pengunjung

ANTARA pengunjung yang hadir pada Festival Buah-buahan dan Makanan Negeri Sembilan 2016 (FBMNS 2016) di Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) di Paroi, Seremban, hari ini. - Foto Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Festival Buah-buahan dan Makanan Negeri Sembilan 2016 (FBMNS 2016) yang pertama kali diadakan di Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) di Paroi, di sini, menarik kedatangan lebih 6,000 pengunjung, hari ini.

Program anjuran Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu bertemakan Jom Makan Sampai Hongeh (kenyang).

Tarikan utama festival itu adalah peluang untuk makan buah-buahan tempatan termasuk durian, manggis dan rambutan tanpa had, selama sejam dengan bayaran RM15 seorang, manakala kanak-kanak berusia bawah 12 tahun (percuma).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata festival berkenaan akan dijadikan acara tahunan berikutan sambutan menggalakkan yang diterima.

"Kita akan menyenaraikan program ini sebagai salah satu acara pelancongan negeri pada tahun depan bagi menarik lebih ramai pelancong, selain memperkenalkan keenakan buah-buahan Negeri Sembilan, terutama durian yang diambil dari Jelebu.

"Program seumpama ini juga secara tidak langsung mempromosikan PAKAR sebagai tapak jualan produk pertanian yang dijual secara terus oleh petani kepada pembeli tanpa melalui orang tengah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Tun Hairuddin Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi dan Pengurus Besar LPNS, Baharudin Jali.

Sementara itu, Baharudin berkata, lebih empat tan buah disediakan kepada pengunjung sepanjang dua hari festival diadakan.

Katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan, malah ramai pengunjung datang dari luar Negeri Sembilan, termasuk Bangi, Kajang, Kuala Lumpur dan Melaka.

Berita Harian X