;
Ahad, 7 Ogos 2016 | 12:09am
PAKAR Sosial yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof Datuk Dr Mohd Shatar Sabran. - Foto Rosela Ismail
PEGAWAI perhubungan awam, Effi Zuraidah Abdul Latip.

Tiada calon sesuai dan faktor kewangan punca lewat kahwin


PUTRAJAYA: Tiada pasangan bersesuaian antara alasan utama wanita lewat berkahwin walaupun kebanyakan mereka menyatakan keinginan mendirikan rumah tangga, pada usia muda.

Kajian Keluarga dan Penduduk Malaysia Kelima 2014 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), menunjukkan 35.7 peratus wanita bujang memberikan alasan itu menjadi punca mereka membujang.

Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail, berkata kajian yang dijalankan terhadap lelaki dan wanita bujang berusia 25 hingga 49 tahun menunjukkan 86.8 peratus daripada mereka sebenarnya mempunyai keinginan memiliki pasangan hidup.

Katanya, bagaimanapun lelaki dan wanita bujang memberikan tiga alasan utama termasuk tidak jumpa pasangan sesuai sehingga bergelar anak dara tua (andartu).

"Kebanyakan mereka bersetuju usia dianggap sesuai berkahwin bagi wanita ialah 26 tahun, manakala lelaki 28 tahun. Wanita yang mencapai usia 33 tahun disifatkan sebagai lewat berkahwin, manakala lelaki pula pada usia 37 tahun," katanya kepada BH, semalam.

Senario lambat kahwin

Siti Norlasiah berkata, kajian berkenaan dijalankan bertujuan melihat senario terkini penduduk negara ini, selain kebimbangan terhadap peningkatan golongan yang tidak berkahwin terutama wanita.

Katanya, tidak seperti lelaki yang menjadikan masalah kewangan sebagai sebab utama mereka masih membujang, hanya 26 peratus wanita tidak berkahwin menjadikan faktor kewangan sebagai alasan tidak mendirikan rumah tangga.

Dalam kajian sama, 56 peratus lelaki bujang memberikan alasan faktor kewangan menjadi sebab utama mereka masih tidak berkahwin.

"Kira-kira 18.1 peratus wanita bujang menjadikan faktor mengejar karier sebagai sebab mereka lambat berkahwin, manakala 9.4 peratus lelaki memberi alasan mahu mendahulukan kerjaya," katanya.

Kriteria pilih calon suami

Kajian turut mendapati, 47.1 peratus wanita memilih sifat tanggungjawab sebagai kriteria utama mencari calon suami.

"Ternyata wanita tidak hanya melihat faktor kewangan semata-mata sebaliknya mereka lebih mengambil kira soal nilai murni yang ada pada lelaki supaya mampu menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga," katanya.

Ditanya langkah yang diambil LPPKN menangani isu lewat kahwin, beliau berkata pihaknya menyediakan program khusus praperkahwinan, SMARTSTART, bertujuan memberi kefahaman kepada golongan muda mengenai konsep perkahwinan.

"Kami mempunyai projek perintis dijalankan di Universiti Utara Malaysia (UUM) sejak beberapa tahun lalu, sebagai program elektif dalam kokurikulum di institusi pengajian berkenaan.

"Sehingga kini sudah lebih 500 pelajar mengikutinya bertujuan memberi kefahaman mengenai konsep perkahwinan supaya mereka tahu faktor penting yang perlu ada dalam sesebuah perkahwinan," katanya.

Pakar Sosial yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Mohd Shatar Sabran, berkata senario wanita berkahwin lewat kerana berpendidikan tinggi bukan luar biasa tetapi dikhuatiri memberi impak negatif terhadap kehidupan sosial masyarakat, dalam usaha membina institusi keluarga yang lebih baik dan sempurna.

Katanya, apabila ramai wanita berpendidikan tinggi, sebilangannya berkahwin lewat dan sekali gus akan lewat membina keluarga atau mendapat anak.

Berbeza pada tahun 70-an, tidak ramai wanita yang melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi, berbanding sekarang menyebabkan kehidupan mereka ketika itu hanya mengurus anak.

Katanya, berbekalkan pendidikan tinggi, wanita kini mempunyai kerjaya tinggi dan sesetengahnya tidak kisah jika lambat berkahwin kerana sibuk mengejar kejayaan lebih baik untuk masa depan.

"Bidang kerjaya juga menyaksikan wanita sudah mampu memegang jawatan tinggi dan tidak bergantung kepada lelaki untuk mencari rezeki.

"Jika dulu kebanyakan wanita tidak memiliki kerjaya dan bergantung sumber pendapatan suami. Kini kerjaya wanita jauh lebih hebat. Justeru untuk mereka bergantung kepada lelaki begitu minimum dan hampir pupus," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau berkata, kelewatan berkahwin menyebabkan mereka akan lewat mendapat anak dan apabila sudah pencen, anak masih bersekolah dan perlu menanggung mereka menjadikan ia situasi yang sukar.

Beliau mencadangkan usia ideal wanita berkahwin ialah pada usia 23 tahun dan lelaki pada usia 25 tahun.

"Ketika pasangan suami isteri itu sudah memasuki usia pencen, anak sudah berkerjaya dan boleh menjalani hidup sendiri. Ini akan membentuk sistem sosial masyarakat yang lebih baik ," katanya.

Namun, perkembangan, perubahan sosiobudaya dan gaya hidup moden menjadi alasan utama wanita dan lelaki lebih selesa hidup solo.

Sebilangan berpendapat mereka sedia dicemuh masyarakat dengan gelaran andartu dan bujang terlajak daripada terpaksa menanggung derita akibat perkahwinan gagal di pertengahan jalan.

Pegawai perhubungan awam, Effi Zuraidah Abdul Latip, 41, yang masih bujang, berkata pengalaman melihat banyak kes perceraian dalam kalangan rakan terdekat membuatkan beliau trauma memilih pasangan hidup.

Katanya, beliau menyaksikan ramai rakan yang melalui pelbagai keperitan akibat perceraian pada usia muda dan lebih teruk apabila mempunyai masih kecil membuatkannya takut berkahwin awal.

"Paling menyedihkan apabila memikirkan masa depan anak yang tidak menentu kerana menjadi mangsa dalam kes sebegini. Bukan tidak mahu berkahwin tetapi saya percaya dengan ketentuan Tuhan apabila membabitkan soal jodoh dan pertemuan," katanya kepada BH.

Beliau berkata, sebelum ini pernah ada beberapa teman lelaki, tetapi tidak bertahan lama kerana tidak sesuai dan tiada persefahaman.

Sibuk kejar kerjaya


GURU, Saifuldin Jaafar.

Guru, Saifuldin Jaafar, 35, bukan soal tidak bertemu pasangan bersesuaian membuatkan dirinya masih bujang sebaliknya mengakui faktor persekitaran sebagai antara sebab beliau belum mendirikan rumah tangga.

"Bukan tidak pernah berusaha, tetapi perubahan gaya hidup wanita sekarang yang lebih mementingkan kerjaya. Ini menjadikan saya semakin sukar membuat keputusan memilih pasangan hidup.

"Kesibukan kerja, bebanan tugas dan kos sara hidup di ibu kota memerlukan perbelanjaan tinggi, membuatkan saya belum bersedia berkahwin kerana dikhuatiri memberi kesan dalam perancangan hidup berkeluarga nanti," katanya yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Petaling Jaya.

Cari lelaki beriman

Guru sebuah sekolah rendah di Kelantan, Rosniza Ismail, 43, berkata tumpuan mengejar impian dalam kerjaya menjadikan beliau terlupa memikirkan soal jodoh.

"Dulu masa muda sibuk mencari pekerjaan sesuai, tetapi selepas berjaya menjadi guru sibuk pula dengan kerja. Masa terus berlalu menjadi saya leka dengan tugas ini, akhirnya umur meningkat.

"Kini saya berserah pada Tuhan dalam soal jodoh. Jika dipertemukan lelaki yang serasi, bertanggungjawab dan beriman saya tidak menolak takdir," katanya.

Info: Program Praperkahwinan SMARTSTART

# Diperkenalkan LPPKN kepada pasangan bakal berkahwin dan baru berkahwin

# Empat bahasa pengantar - bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

# Bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran aspek perkahwinan dan keibubapaan

# Sebagai persediaan mental dan membina sikap positif

# Platform pasangan memahami dan kenal diri masing-masing

1076 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »