Ahad, 7 Ogos 2016 | 3:12pm

Album Dafi terbitan Ahmad Dhani bakal dilancarkan di Indonesia

Penyanyi, Dafi Ismail di majlis makan tengahari bersama Pengacara HBO Sentral musim 3, di Ploy G-2, Damansara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Penyanyi, Dafi Ismail di majlis makan tengahari bersama Pengacara HBO Sentral musim 3, di Ploy G-2, Damansara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Album ketiga Dafi, 28, yang dicipta sepenuhnya oleh komposer Indonesia, Ahmad Dhani, bakal dilancarkan di negara seberang terlebih dulu sebelum menemui peminat di sini.

Dafi atau nama penuhnya Gadaffi Ismail Sabri, berkata proses penghasilan album terbaharu itu kini berada pada peringkat akhir dan ia dijangka berada di pasaran Indonesia dalam tempoh terdekat.

"Alhamdulillah, album ketiga yang dihasilkan oleh Ahmad Dhani hampir siap. Sekali gus saya dapat menutup mulut mereka yang menganggap saya hanya membuat cerita mengenai perkara ini.

"Setelah duduk berbincang, kata sepakat dicapai untuk melancarkan album terbaharu ini di Indonesia terlebih dulu. Ia dilihat sebagai peluang keemasan untuk saya dikenali di negara sebarang.

"Biarpun memilih Indonesia sebagai lokasi utama untuk melancarkan album, Malaysia masih menjadi keutamaan. Saya akan berulang-alik ke Jakarta untuk mempromosikan album itu nanti," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Dafi pernah mengeluarkan kenyataan dia bakal bekerjasama dengan komposer terkemuka Indonesia itu. Bagaimanapun bekas peserta Akademi Fantasia ini dituduh menipu bagi meraih publisiti murahan apabila tiada berita susulan mengenai perkembangan kerjasama terbabit.

Pelantun lagu Bila Terasa Rindu itu menjelaskan, tidak timbul isu memberi kelebihan pada negara seberang hanya kerana beliau memilih untuk melancarkan album ketiganya di Indonesia.

"Saya sudah melancarkan dua album di Malaysia. Tidak salah rasanya untuk saya cuba mengintai peluang di negara seberang pula.

"Bukan mudah untuk menembusi pasaran negara itu, jadi saya memilih untuk tidak melepaskan peluang keemasan yang diberikan oleh Ahmad Dhani," kata Dafi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X