Isnin, 8 Ogos 2016 | 4:37pm
SERAMAI 39,862 pelajar ditawarkan tempat untuk mengikuti pengajian di Universiti Awam bagi Program Pengajian Sesi Akademik 2016/2017. - Foto hiasan/BERNAMA

39,862 pelajar ditawarkan tempat di Universiti Awam (UA)

KUALA LUMPUR: Seramai 39,862 pelajar ditawarkan tempat untuk mengikuti pengajian di Universiti Awam (UA) bagi Program Pengajian Sesi Akademik 2016/2017.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Datuk Profesor Dr Asma Ismail, berkata sebanyak 58,011 permohonan diterima dan daripada jumlah itu sebanyak 54,618 (94.2 peratus) adalah calon yang layak dan melepasi Syarat Am Universiti serta Syarat Khas Program Pengajian.

Katanya, seramai 3,873 calon Asasi cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 berjaya mendapat tawaran di UA.

"Kementerian mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pemohon yang telah berjaya menerima tawaran.

"Keputusan kemasukan ke UA ini hanya membabitkan 18 buah UA yang diselaraskan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar JPT, tidak termasuk Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) yang membuat pengambilan sendiri," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Prof Asma berkata, pihak UA akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada calon yang berjaya mulai 9 Ogos 2016.

Katanya, semua calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan setuju terima tawaran oleh UA dalam tempoh 10 hari iaitu pada atau sebelum 22 Ogos.

"Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui laman web UA," katanya.

Mengulas lanjut, katanya hanya pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran ke UA boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPU Online e-Rayuan di http://upu.mohe.gov.my.

UPU Online e-Rayuan akan dibuka dalam tempoh lima hari mulai 08 Ogos, jam 12 tengah hari sehingga 12 Ogos jam 11.59 malam.

Keputusan pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat mengikut program pengajian di UA.

Tawaran adalah muktamad. Jika tiada sebarang jawapan diterima dari UA sehingga 13 September 2016, maka rayuan berkenaan hendaklah dianggap gagal.

Dimaklumkan juga bahawa keputusan permohonan rayuan kemasukan ke UA bagi program Ijazah pertama untuk lepasan STPM/ Setaraf akan diumumkan dua kali iaitu pada 25 Ogos dan 13 September.

Untuk memudahkan pemohon membuat semakan dan mendapatkan khidmat runding cara, Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi membuka kaunter khidmat runding cara berkaitan permohonan kemasukan ke UA di bangunan Kementerian Pendidikan Tinggi, di Putrajaya.

Kaunter dibuka mulai 8 Ogos hingga 12 Ogos 2016 dari jam 8.30 pagi hingga 4:30 petang (waktu dan hari bekerja sahaja).

Tarikh pendaftaran pelajar baharu ialah pada 28 Ogos hingga 04 September mengikut UA masing-masing.

Berita Harian X