Selasa, 9 Ogos 2016 | 12:08am
IMAM I Masjid Cina Al-Muttaqin, Mohd Khabir Abd Karim. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
KEUNIKAN seni bina menara Masjid Cina Al-Muttaqin di Krubong yang menyerupai tiga buah masjid di Beijing, Shanghai dan Xian. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Masjid Cina Melaka ada kembar di Beijing, Shanghai dan Xian


MELAKA: Seni bina dan hiasannya, menampilkan ia umpama sebuah istana lama, yang sering kelihatan di China.

Namun, itulah tarikan kepada Masjid Cina Al-Muttaqin yang terletak dalam Kompleks Sukan Hang Jebat dekat Paya Rumput di sini, yang turut dikenali sebagai Masjid Cina Negeri Melaka.

Masjid yang dibina atas tapak seluas 0.4 hektar itu, menelan kos RM7.5 juta serta menjadi satu daripada tujuh masjid kerajaan negeri di Melaka.

Pembinaannya yang bermula Oktober 2012 dan siap pada Jun 2014 itu, Masjid Cina Negeri Melaka mempunyai dua menara, yang membezakannya dengan rumah ibadat bukan Islam lain.

Solat Jumaat kali pertama yang diadakan di rumah ibadat itu adalah pada 6 Ramadan tahun lalu.

Imam Satu, Mohd Khabir Abd Karim, berkata Masjid Cina Al-Muttaqin adalah yang ketiga di negara ini selepas pembinaan sama di Kelantan dan Perak, yang kini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara termasuk dari China yang kagum terhadap seni binanya.


PANDANGAN dari atas yang menunjukkan seni bina yang unik Masjid Cina Al-Muttaqin dengan dua menara. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan


LANDSKAP hadapan seni bina Masjid Cina Al-Muttaqin. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

"Seni bina dan reka bentuknya hampir menyerupai tiga masjid yang terletak di Beijing, Shanghai dan Xian, China. Ia mampu memuatkan sehingga 1,500 jemaah dalam satu masa," katanya.

Enam lagi masjid di bawah kerajaan negeri adalah Masjid Selat di Pulau Melaka; Masjid As Syakirin di Alor Gajah; Masjid Al Ghaffar di Jasin; Masjid Al-Alami di Ayer Keroh; Masjid Saidina Ali di Bukit Katil dan Masjid Al-Azim di Bukit Palah.

Masjid Cina Al-Muttaqin turut dilengkapi bilik tetamu kenamaan, pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat, selain kemudahan seperti tandas dan tempat yang wuduk selesa kepada jemaah serta parkir yang luas berhampiran stadium.

  

Mohd Khabir berkata, ketika awal pembukaan masjid itu, pihaknya juga menerima pelbagai maklum balas daripada pengunjung tempatan dan luar negara yang mulanya menyangka ia adalah rumah ibadat bukan Islam.

"Sebaik mendekati struktur bangunan masjid unik ini, pelancong tertanya-tanya dan hairan mengenai reka bentuknya seperti yang ada di China, namun selepas penerangan diberikan ia diterima baik semua orang.

"Tujuan utama seni bina ini ialah untuk menjelaskan kepada masyarakat berbilang kaum negara ini bahawa Islam tidak pernah menghalang budaya mana-mana kaum selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam,'' katanya.


MASJID Cina Al-Muttaqin mampu memuatkan sehingga 1,500 jemaah pada satu masa. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan


MOHD Khabir (kiri) menunjukkan keunikan seni bina di ruang solat utama Masjid Cina Al-Muttaqin. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

ORANG ramai selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Cina Al-Muttaqin, Krubong. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Tambahnya, penambahan prasarana akan dilakukan ke atas masjid itu antaranya dewan untuk program keramaian dan bazar jualan, manakala beberapa ruangan masjid bakal dihiasi dengan kaligrafi ayat al-Quran.

"Kaligrafi ayat al-Quran akan dipasang di ruang solat, pintu utama dan pintu gerbang masjid menjelang penghujung tahun ini, sekali gus menjelaskan lagi keraguan segelintir pengunjung yang keliru dengan seni bina kelihatan seperti tokong pada masjid ini.

"Kita juga meminta pengunjung yang berpakaian kurang sopan dapat memakai jubah yang disediakan sebagai tanda hormat di rumah ibadat," katanya.

Masjid Cina Negeri Melaka kini turut menjadi pilihan sebagai tempat saudara baharu untuk melafazkan kalimah syahadah yang biasanya diadakan pada setiap petang hujung minggu.

Berita Harian X