Selasa, 9 Ogos 2016 | 12:06pm

Gelombang Satu PPPM 2013-2025 capai sasaran


MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berjaya mencapai sasaran ditetapkan dalam tiga keberhasilan utama pelan itu selepas tamat Gelombang Satu dari 2013 hingga 2015.

Tiga keberhasilan utama berkenaan termasuk kebolehan murid menguasai literasi dan numerasi, peningkatan enrolmen murid dan merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata sebanyak 99 peratus murid berjaya menguasai literasi Bahasa Malaysia dan numerasi selepas tiga tahun persekolahan, manakala bagi Bahasa Inggeris meningkat dari 63.3 peratus pada 2013 kepada 94 peratus pada tahun lalu.

Beliau berkata, dari segi enrolmen murid, sebanyak 84.5 peratus kanak-kanak memasuki pra sekolah tahun lalu, berbanding 81.7 peratus pada 2013, manakala bagi sekolah rendah sebanyak 98 peratus, berbanding 94.4 peratus pada 2013, sekali gus melepasi kadar enrolmen universal sebanyak 91 peratus.

"Dari segi merapatkan jurang bandar dan luar bandar, pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menyaksikan jurang berjaya dikurangkan iaitu sebanyak 31.6 peratus, mengatasi sasaran Gelombang Satu iaitu 25 peratus," katanya ketika berucap melancarkan Laporan Tahunan 2015 PPPM 2013-2025 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Datuk P Kamalanathan dan Chong Sin Woon; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

Berita Harian X