Selasa, 9 Ogos 2016 | 12:09pm

Rekod MBR Pak Nil belum dipecahkan pengacara lain

KATEGORI Pengacara Paling Lama Berkhidmat yang dimenangi Aznil pada majlis Malaysia Book of Records pada 2012 masih belum diganggu gugat sesiapa.

KUALA LUMPUR: Selebriti popular, Datuk Aznil Nawawi, 53, atau mesra disapa Pak Nil terharu apabila hingga kini belum ada individu yang dapat memecahkan rekodnya sebagai Pengacara TV Paling Lama Berkhidmat menerusi Malaysia Book Of Records (MBR) pada 2012.

Katanya, bukan mahu mendabik dada sebaliknya penghormatan itu menjadi pemangkin buat dirinya untuk memberikan kerja terbaik selain penyuntik semangat kepada generasi hos baharu.

"Rekod yang saya pegang sejak empat tahun lalu itu masih belum dipecahkan mana-mana pengacara lain. Malam tadi saya berbangga kerana berada dalam satu dewan bersama penerima baharu dan pemegang rekod kategori masing-masing di Malaysia.

"Tidak sangka perjuangan berterusan saya dalam bidang ini masih diiktiraf dan dihargai. Namun saya berharap akan muncul pengacara masa kini yang terus setia melaksanakan tugas pengacaraan.

"Saya juga yakin ada di antara mereka nanti seterusnya mampu memecahkan rekod yang saya pegang sejak 26 tahun lalu," katanya ketika majlis penyampaian MBR di sebuah hotel, malam tadi.

Terdahulu, Aznil yang pernah menyandang gelaran Pengacara Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak sembilan kali pernah mengendalikan Pop Kuiz, Melodi, Teleskop, Akademi Fantasia, Tom Tom Bak, Macam Macam Aznil dan pelbagai program lain.

Selain mengacarakan rancangan sendiri, Lepaknil, khidmatnya di Astro terus dikekalkan termasuk membantu mencari pelapis baharu dalam dunia pengacaraan seperti menerusi program On Air.

AZNIL bersama Datuk Mahadzir Lokman yang diraikan pada malam tadi.

Berita Harian X