Selasa, 9 Ogos 2016 | 4:58pm

FFM: Maya Karin tak letak harapan tinggi


PELAKON, Maya Karin. - Foto Khairul Azhar Ahmad

KUALA LUMPUR: Lebih 15 tahun berlakon, sudah 10 kali nama Maya Karin tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FMM).

Sudah tuah dirinya, Maya sekali lagi bersaing dalam kategori sama pada FMM yang memasuki edisi ke-28, awal bulan depan.

Lebih manis, kali ini, Maya tercalon dalam dua filem iaitu Jwanita dan Nota. Aktres jelita ini berdepan cabaran pelakon hebat seperti Lisa Surihani, Nadiya Nisaa dan Nabila Huda.

Maya memberitahu BH Online, dia terkejut namanya 'sangkut' dalam dua filem pada FFM 28.

"Alhamdulillah atas pencalonan berganda ini. Saya agak terkejut ketika dimaklumkan nama saya 'sangkut' untuk dua filem.

"Saya sangka hanya filem Jwanita kerana ia mendapat maklum balas positif penonton. Setahu saya, bagi filem Nota, hanya pengkritik dan pencinta filem tegar saja yang menontonnya.

"Namun, biar apapun, saya gembira untuk dua pencalonan ini," katanya melalui aplikasi WhatsApp. Maya kini bercuti di London hingga akhir bulan ini.

Sebelum ini, Maya pernah dua kali merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM melalui filem Anak Halal dan Ombak Rindu yang dihasilkan sutradara Osman Ali.

Mengenai potensinya mengulangi kejayaan sama, Maya berkata:

"Apa saja keputusan nanti, saya terima dengan hati terbuka. Saya lebih selesa untuk tidak meletakkan harapan tinggi.

"Tapi di sudut hati kecil saya, pasti ingin menggenggam trofi itu. Sama ada kemenangan untuk Jwanita atau Nota, saya sudah memberikan yang terbaik untuk kedua-dua filem itu," katanya.

Maya mengakui kedua-dua filem terbabit memberi kepuasan tersendiri apatah lagi membuka peluang untuk melakukan eksperimen dengan watak berbeza.

"Watak Erin dalam filem Nota dan Jwanita menonjolkan sisi wanita misteri dan sepi. Watak ini tersepit antara realiti kehidupan, bayangan silam dan masa mendatang.

"Menang atau kalah, saya akan terus bekerja keras untuk mempelbagaikan variasi lakonan," katanya.

Berita Harian X