Selasa, 9 Ogos 2016 | 7:27pm

Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat siap 2019


KETUA Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ismail Md Salleh (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd, Datuk Neoh Soon Hiong (dua dari kanan) memberi penerangan mengenai langkah menjaga kesihatan, keselamatan dan sudut penjagaan alam sekitar di kawasan pembinaan kepada pekerja asing sempena Program Mega Tool Box Talk Pakej 3,4 dan 5 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (Taiping-Banting) di Jalan Meru, Klang. - Foto Muhammad Sulaiman

KLANG: Pembinaan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat sepanjang 233 kilometer dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak berjalan mengikut jadual dan akan siap seperti dirancang pada 2019.

Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd (WCESB), Datuk Neoh Soon Hiong, berkata projek dengan kos RM6 bilion itu sudah 23 peratus siap, walaupun terdapat sedikit masalah pada awal pembinaannya.

"Pembinaan yang dimulakan pada 2014 ini membabitkan 11 fasa pembangunan dan kini sedang memasuki fasa kelima membabitkan kawasan di Selangor, manakala fasa 8 sehingga 11 di Perak.

"Pihak syarikat berpuas hati dengan perkembangan baik pembinaan lebuh raya ini. Apabila pakej yang dibina secara berperingkat ini siap sepenuhnya, kita akan mula buka untuk kutipan tol," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program `Mega Tool Box Talk' bagi pakej 3,4 dan 5 di Bandar Bukit Raja di sini.

Hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya, Datuk Ir Ismail Md Salleh dan Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Mohd Zaid Zakaria.

Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat bakal menghubungkan bandar seperti Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sabak Bernam dengan Teluk Intan.

Berita Harian X