Rabu, 10 Ogos 2016 | 4:26pm

McDonald's, Maybank rumus kaedah masyarakat tanpa tunai


AZMIR (kanan) dan Abdul Farid menunjukkan proses pembayaran tanpa tunai di kaunter pembayaran McDonald's Seksyen 3, Shah Alam, pada majlis pelancaran kerjasama antara McDonald'€™s Malaysia dan Maybank ke arah mewujudkan masyarakat tanpa tunai, hari ini. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: McDonald's Malaysia menjalin kerjasama dengan Maybank untuk menawarkan pilihan pembayaran tanpa tunai di semua restorannya di seluruh negara.

Ia seiring dengan visi Bank Negara Malaysia (BNM) ke arah mewujudkan masyarakat tanpa tunai menjelang 2020.

Pengarah Urusan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar, berkata dengan mengaplikasikan sistem pembayaran tanpa tunai di restoran McDonald's seluruh negara, pihaknya berhasrat untuk memainkan peranan penting ke arah mewujudkan masyarakat tanpa tunai di negara ini.

"Sesungguhnya, dengan kerjasama Maybank sebagai rakan perbankan rasmi, hal ini adalah satu lagi pencapaian penting dalam usaha kami untuk mengukuh dan mengembangkan operasi kami di Malaysia," katanya pada majlis pelancaran kerjasama itu di sini, hari ini.

Menerusi kerjasama itu, pelanggan kini boleh membayar hidangan kegemaran mereka di lebih 140 restoran McDonald's seluruh negara dengan menggunakan kad kredit, kad debit atau MaybankPay.

Tiada pesanan minimum diperlukan untuk pembayaran menggunakan kad di McDonald's.

Bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai, McDonald's Malaysia turut menawarkan Frozen Coke atau Sundae Cone percuma bagi setiap pembelian minimum sebanyak RM10 dengan pembayaran menggunakan kad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata kerjasama itu mengukuhkan komitmen pihaknya untuk menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai kepada pelanggan di semua lokasi operasi bank itu.

"Malah, ia turut menandakan sokongan kami terhadap agenda kerajaan dalam menggalakkan pembayaran tanpa tunai di negara ini.

"Selain itu, inisiatif ini juga bertepatan dengan strategi kami untuk menjadi bank digital pilihan utama di rantau ini," katanya.

Katanya, sebagai pelopor perbankan elektronik dan perniagaan berasaskan kad, beliau percaya Maybank berada pada kedudukan yang cukup baik untuk menawarkan platform digital yang mudah dan selamat kepada McDonald's.

Berita Harian X