Rabu, 10 Ogos 2016 | 10:41pm

41 karya pelukis wanita dipamer di Galeri Prima


PENGARANG Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali (kiri) melihat pameran lukisan yang dipamerkan pada Pameran Interpretasi Visual Wanita di Galeri Prima, Anjung Riong The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Balai Berita, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Sebanyak 41 lukisan yang dihasilkan oleh empat pelukis wanita sedang dipamerkan pada Pameran Interpretasi Visual Wanita di Galeri Prima, Anjung Riong The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Balai Berita di sini.

Pameran lukisan selama sebulan yang bermula semalam sehingga 9 September ini adalah karya Rube Jamal, Marisa R Ng, Zaidah Abdullah dan Naddia Zakaria.

Ia adalah pameran kedua di Galeri Prima selepas memulakan operasi pada 1 Jun lalu.

Pada pameran kali ini, Suzlee Ibrahim, yang juga Dekan Fakulti Komunikasi Visual dan Bentuk, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), turut dijemput mempamerkan lima lukisannya.

Majlis resepsi pameran itu diadakan malam ini dengan dihadiri Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tg Nasariah Tg Syed Ibrahim; Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman dan Timbalan¬†Pengarang Kumpulan Harian Metro, [email protected] Bachok.

Pengurus Galeri Prima, Nor Azlinda Aziz, berkata pameran kali ini menampilkan simbolik tersendiri dengan menonjolkan idea kreatif, selain interpretasi pelukis wanita melalui lukisan.

"Tema yang dipilih adalah lukisan abstrak, potret dan gambaran. Ia adalah kombinasi antara pelukis wanita baharu dan lama," katanya.

Sementara itu, Naddia berkata penganjuran pameran berkenaan dapat memberi peluang kepada orang muda yang minat melukis untuk mempamerkan karya masing-masing.

"Saya sudah menyertai lebih 20 pameran dan lukisan yang dibawakan adalah berbentuk lukisan abstrak bentuk muka. Saya melukis mengikut keadaan emosi pada ketika itu," katanya.

Pameran dibuka kepada orang ramai mulai jam 10 pagi sehingga 6 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

Berita Harian X