Khamis, 11 Ogos 2016 | 12:01am
PESISIR Pantai Timur Salalah.

Salalah di selatan Oman digelar 'Switzerland Negara Teluk'


PELANCONG berpeluang mandi manda di Wadi Bani Khalid, Muscat, Oman.

KELIHATAN seperti menangguk di air keruh, namun hakikat fenomena Islamofobia seiring rentetan siri serangan pengganas di beberapa kota terkemuka Eropah memberi impak positif kepada Oman yang terletak di Semenanjung Arab.

Pakar pelancongan dan pengembaraan menganggapnya sebagai sebuah negara selamat dengan potensi pelancongan yang cukup besar.

Secara tidak langsung ia menjadikan kerajaan kesultanan Islam dengan populasi lebih 3.6 juta penduduk itu sebagai destinasi pelancongan pilihan ramai sekitar negara Teluk dan Eropah.

Menurut Kementerian Pelancongan negara itu, Salalah di selatan Oman kini menjadi destinasi pilihan sejumlah pelancong dari negara Teluk, Eropah dan tempatan pada musim panas.

Lebih dikenali sebagai "Switzerland Negara Teluk", ia cukup terkenal disebabkan keadaan cuaca sederhana ketika musim panas serta landskapnya yang subur.

Statistik terkini yang dikeluarkan Pusat Statistik & Maklumat Kebangsaan (NCSI), menunjukkan lonjakan 39.9 peratus dalam jumlah pelancong ke Salalah sehingga 25 Julai tahun ini berbanding tahun lalu.


HUTAN Hujan Salalah antara tarikan utama di Oman.

Jumlah pelancong juga meningkat kepada 215,128 orang sehingga 18 Julai lalu, berbanding 153,780 pelancong dalam tempoh sama tahun lalu.

Pemilik agensi pelancongan, Mohammad Al Beloushi memberitahu Gulf News, jumlah warga Teluk yang menuju ke Oman meningkat kerana negara itu mempromosi dirinya sebagai sebuah destinasi di mana budaya dan warisan purba memenuhi keterbukaan dan kesederhanaan hidup.

"Apa yang membuatkan Oman berbeza daripada negara jiran lain ialah, anda dapat menikmati keindahan pantai yang menakjubkan selain gunung-ganang memukau di lokasi pelancongan sama," kata Al Beloushi.

Ramai pelancong dari negara Teluk mengakui mereka teruja untuk bercuti di wilayah Dhofar, Oman pada musim panas ini kerana takut dan enggan ke Eropah selepas beberapa siri serangan keganasan baru-baru ini.

Seorang warga Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ahmad Al Nuaimi berkata, beliau sekeluarga sebelum ini merancang untuk ke Perancis namun terpaksa membatalkannya berikutan serangan keganasan di Nice, 14 Julai lalu.

"Kami memutuskan untuk menghabiskan percutian di Salalah tahun ini. Ia selamat dan memiliki banyak lokasi tarikan pelancong. Kami sedang menikmati percutian kami di sini," kata Al Nuaimi.


PERGUNUNGAN Al-Akhdar.

PERGUNUNGAN Shams.

Seorang warga Arab Saudi, Eid Al Shammari pula berkata, beliau takut untuk ke Eropah musim panas ini dan mahu mengelak risiko.

Al Shammari berkata beliau dan rakannya sepatutnya mengunjungi Belgium pertengahan Julai lalu, tetapi sebaliknya menukar rancangan dan menempah tiket ke Salalah.

Katanya, keadaan cuaca yang sejuk, landskap yang menarik, berkabus serta berhujan menambah lagi keseronokan percutian beliau.

Berikutan sambutan dan permintaan yang begitu menggalakkan, syarikat penerbangan negara, Oman Air, menyediakan 11 penerbangan setiap hari sepanjang musim monsun Khareef antara Salalah dan ibu kotanya, Muscat, dengan peningkatan kapasiti 15,000 tempat duduk berbanding tahun sebelumnya.

Menurut pegawai Kementerian Pelancongan, selain lokasi menarik di Salalah, pelancong juga tertarik berkunjung ke Jabal Al Akdhar, Jabal Shams, Al Ashkarah, Mahoot dan Wadi Bani Khalid.

"Kami percaya selain kejayaan kempen 'Melawat Oman di Musim Panas' dan harga murah yang ditawarkan, kekerapan serangan keganasan di Eropah baru-baru ini mendorong ramai warga Teluk Arab dan Eropah beralih angin ke Oman," katanya.


WADI Bani Khalid.

INFO

  • Strategi pelancongan Oman 2040 termasuk menyediakan lebih 500,000 peluang pekerjaan menjelang akhir 2040.
  • Meningkatkan nilai pelaburan kepada kira-kira OMR19 bilion (RM199 bilion) dengan hanya 12 peratus disumbangkan sektor awam.
  • Jumlah perolehan hotel berkelas 3 hingga 5 bintang mencecah OMR153.19 juta (RM1.6 bilion) sehingga akhir Oktober 2015, manakala jumlah pelancong kekal 964,900 orang.
  • Pada 2015, 2.6 juta pelancong dari negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) (Oman, Arab Saudi, Qatar, UAE, Kuwait dan Bahrain) mencatat 1.06 juta orang, India (299,661), British (150,902), dan Jerman (106,269).
  • Lebih 5.4 juta ke luar negara sebagai pelancong.
  • Jumlah pelancong yang masuk melalui kapal persiaran mendahului dengan 148,000 orang, iaitu 40,225 (Jerman), 13,849 (Itali), 9,688 (Britain), 8,578 (Republik Czech), dan 8,517 (Kepulauan Virgin Britain).
Berita Harian X