Khamis, 11 Ogos 2016 | 6:36pm

Kanak-kanak sesat, waris diminta tampil ke balai polis

ALYA.

KUALA LUMPUR: Waris seorang kanak-kanak perempuan berusia lingkungan lima tahun diminta tampil ke Balai Polis USJ8, Subang Jaya, selepas dia dikatakan gagal mencari jalan pulang ke rumah, petang tadi.

Kanak-kanak itu dikenali sebagai Alya, berdasarkan tanda nama pada badan dan memakai pakaian sukan sekolah berwarna kuning dan merah, dipercayai pakaian seragam Tabika Kemas.

Dia ditemui orang awam kira-kira jam 3 petang, ketika sedang berjalan sendirian di kawasan berkenaan dan dibawa ke Sekolah Kebangsaan Seafield sebelum memaklumkan kepada polis.

Difahamkan, kanak-kanak itu berasal dari Kampung Melayu Subang, Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata kanak-kanak itu kini ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya sementara mencari warisnya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak ini atau mengenali keluarganya boleh menghubungi Balai Polis USJ8, IPD Subang Jaya di talian 03- 78627289," katanya.

Berita Harian X