Jumaat, 12 Ogos 2016 | 12:08am
PENYANYI, Mas Idayu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Keupayaan Mas Idayu mengajar vokal dipersoal


SEBAIK saja nama penyanyi yang terkenal dengan irama dangdut, Mas Idayu, diumumkan sebagai Guru Persembahan Vokal untuk Akademi Fantasia 2016 (AF2016), tidak kurang yang mencebik bibir dan mempersoalkan kredibiliti wanita ini sehingga dipilih menggalas tanggungjawab besar itu.

Antara kata-kata nakal dilemparkan kepada penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Cintaku 100% dan Robek Hatiku ini adalah apa kelebihan yang ada padanya sehingga melayakkan beliau memegang jawatan berkenaan?

Malah, ada juga yang beranggapan pelantikan itu dibuat semata-mata untuk mahu menyelitkan elemen drama ke dalam program realiti berkenaan, kerana Mas Idayu yang mesra disapa Ayu ini, dikenali sebagai seorang yang garang.

Tentu ada yang masih ingat insiden rotan yang dikaitkan dengan dirinya ketika membimbing Black Hanifah dalam program Mentor 3, tujuh tahun lalu.

Sebagai program realiti, tentunya elemen drama seperti itu mampu menjadi umpan buat penonton sekali gus menaikkan rating rancangan terbabit.

Bertemu Ayu pada majlis sidang media memperkenalkan 14 peserta AF2016 yang diadakan di Petaling Jaya, baru-baru ini, soalan itulah juga yang diajukan kepadanya.

PERSEMBAHAN Mas Idayu pada program Lentera muzika diva dangdut, Mas Idayu. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Tidak cepat melatah dengan soalan yang sudah dijangka itu, beliau berkata, kepercayaan diberikan Astro kepada adalah lebih penting daripada memikirkan pandangan negatif orang lain.

"Ketika Astro menawarkan menjadi tenaga pengajar AF, saya terlebih dulu memastikan apakah mereka benar-benar mahu mengambil saya?

"Saya akui saya bukan bertauliah, tetapi mempunyai pengalaman 25 tahun dalam bidang ini. Saya tahu selok-belok dunia nyanyian dan terma dalam bidang muzik.

"Apabila dimaklumkan mereka memang serius mahu mengambil saya, tawaran itu saya terima. Saya juga tiada masalah untuk bekerjasama dengan pihak berkenaan.

"Saya bukan kosong tetapi ada ilmu dan pengalaman. Mengenai cakap-cakap belakang, saya tidak perlu memikirkannya kerana saya bekerja untuk Astro. Saya lebih memikirkan apa yang ingin saya berikan kepada bakat baru ini," tegas penyanyi berusia 47 tahun itu.

PENYANYI, Mas Idayu diumumkan sebagai Guru Persembahan Vokal untuk Akademi Fantasia 2016 (AF2016). - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Mengulas dakwaan kononnya khidmat beliau digunakan bagi menyuntik unsur drama, pemilik nama penuh Mas Idayu Mesnun ini pantas menafikan perkara berkenaan.

"Program membabitkan saya sebelum ini tidak ada satu pun menunjukkan saya berdrama. Adalah satu kesilapan besar bagi mereka yang berkata sedemikian.

"Sebagai contoh, ketika saya menjadi juri dalam sebuah program nyanyian di Indonesia, apa yang ditonjolkan semuanya adalah ikhlas dan datang daripada dalam diri saya sendiri. Saya tidak suka berdrama sebenarnya," tegas Ayu lagi.

Ditanya apakah beliau bakal berdepan dengan cabaran terbesar untuk membimbing pelajar musim ini, ibu kepada seorang anak perempuan yang sudah meningkat remaja ini mengakui hakikat terbabit.

"Saya sudah pun bertemu dengan pelajar terbabit dan apa yang boleh saya katakan, ada yang memang hebat dan bakat sebahagiannya masih lagi perlu diperbaiki.

PERSEMBAHAN Mas Idayu (kiri) dan Amelina pada program Lentera muzika diva dangdut. - Foto Rohanis Abdul Shukri

"Bagaimanapun, mereka masih baharu dan terlalu awal untuk kita menilai prestasi masing-masing. Sebagai guru persembahan vokal, menjadi tugas saya membimbing mereka seperti mengajar cara nyanyian sesuai mengikut genre muzik sesebuah lagu," ujarnya.

Sebaik saja selesai kerja bersama program AF2016, penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Gelek 45 Darjah ini berkata, beliau akan menyambung tugasnya sebagai juri program D' Academy Asia untuk musim kedua pula, mulai Oktober depan.

Walaupun ada yang mengatakan agak sukar untuk penyanyi Malaysia menembusi negara itu, namun menurut Ayu, perkara terbabit tidak berlaku pada dirinya.

"Alhamdulillah, laluan Ayu untuk membina nama di sana cukup mudah. Pada awalnya, mereka agak skeptikal terutama apabila kita memberi komentar negatif terhadap peserta tuan rumah. Namun, lama kelamaan mereka boleh menerima kehadiran dan cara Ayu sebagai juri.

"Lebih menyeronokkan apabila pihak produksi program berkenaan turut menerbitkan sebuah lagu baharu buat Ayu. Lagu itu berjudul Nafsu dan berentak dangdut asli Indonesia. Lagu berkenaan akan Ayu nyanyikan dalam program itu nanti," ceritanya.

Berita Harian X