Selasa, 18 November 2014 | 6:09pm

MYTV, TM meterai perjanjian RM1b untuk perkhidmatan digital terestrial

KUALA LUMPUR: MYTV Broadcasting Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM) memeterai perjanjian bernilai lebih RM1 bilion untuk penyediaan kemudahan infrastruktur dan rangkaian bagi perkhidmatan penyiaran Televisyen Digital Terestrial (DTT) di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MYTV, Nik Abdul Aziz Nik Yaacob, berkata menerusi perjanjian itu, TM akan menyediakan MYTV dengan infrastruktur dan perkhidmatan rangkaian termasuk khidmat rangkaian pengedaran satelit dan terestrial.

"Kami gembira kerana TM, yang juga penyedia perkhidmatan infrastruktur terbesar menjalin usaha sama dengan kami, yang mana ia adalah pencapaian terpenting untuk MYTV menyenaraikan pemilik saluran pada platform DTT," katanya selepas majlis memeterai perjanjian itu yang disaksikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery dalam ucapannya berkata kerjasama antara TM dan MYTV itu membawa Malaysia selangkah lebih dekat kepada merealisasikan wawasan nasional untuk DTT.

Menerusi perjanjian itu, TM akan membangunkan satu rangkaian pengedaran terestrial bagi menghubungkan hab penyiaran multimedia digital MYTV dengan 37 tapak pemancar utama, 10 pusat serantau dan dua stesen bumi melalui rangkaian STM-1 di seluruh negara.

TM juga akan menyediakan MYTV dengan sistem dan rangkaian penyiaran fiber bagi membolehkan MYV menghantar gambar berkualiti tinggi.

Perkhidmatan DTT akan dilaksanakan menerusi dua fasa. Fasa pertama, akan dimulakan di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada pertengahan 2015, bagi memberikan liputan kepada 85 peratus penduduk manakala fasa kedua pula menyasarkan 98 peratus penduduk di seluruh negara menjelang pertengahan 2016. - BERNAMA

36 dibaca
Berita Harian X