Jumaat, 12 Ogos 2016 | 4:51pm

Shaheizy Sam 'terperangkap' 7 jam dalam pesawat ke Switzerland


FILEM Interchange juga diterbitkan bersama penerbit Indonesia, Cinesurya.

SAM menghadiri Festival Filem Locarno ke-69.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shaheizy Sam berdepan situasi menakutkan apabila terperangkap di dalam pesawat selama tujuh jam gara-gara insiden sebuah kapal terbang lain terbakar ketika dalam penerbangan ke Switzerland.

Beliau berangkat ke negara itu bagi menghadiri Festival Filem Locarno ke-69 yang turut menyaksikan filem lakonannya, Interchange ditayangkan bersempena majlis berkenaan.

Menerusi status dimuat naik di akaun Facebook pengarah Interchange yang turut bersama Sam, Dain Said, susulan peristiwa terbabit, pesawat yang dinaiki mereka terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai.

Kongsi Dain lagi, Sam turut kehilangan bagasinya ketika tiba di Lapangan Terbang Locarno.

"Sam terpaksa menunggu bagasinya untuk beberapa hari dan terpaksa membeli pakaian baharu sementara mendapatkan begnya semula.

"Cabaran buat Sam, dia mendapatkan semula bagasi berkenaan kira-kira dua jam sebelum majlis berprestij itu bermula," katanya.

Interchange ditayangkan pada 5 Ogos lalu di Piazza Grande yang mampu memuatkan 8,000 penonton pada satu masa, serta di layar gergasi untuk tatapan seluruh pengunjung.

Menariknya menerusi gambar yang dipaparkan, Sam kelihatan berbangga menggayakan persalinan baju Melayu hitam dipadankan dengan songkok dan samping pada malam kemuncak festival.

Terdahulu, filem itu mendapat pengiktirafan Festival Filem Locarno yang juga sebuah festival antarabangsa yang berpangkalan di Switzerland apabila dipilih untuk tayangan khas. Interchange dijadualkan berada di pawagam pada awal tahun 2017.

Karya itu diterbitkan oleh Apparat dan dibiayai Sonneratia Capital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDec) dan Seeing Eye Films dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Interchange juga diterbitkan bersama penerbit Indonesia, Cinesurya.

Filem seram supernatural ini menggabungkan pelakon Malaysia dan Indonesia termasuk Nicholas Saputra, Prisia Nasution, Iedil Putra, Nadiya Nissa, Alvin Wong dan Chew Kin Wah.

Berita Harian X