Jumaat, 12 Ogos 2016 | 6:05pm

Pemuda UMNO Kuala Terengganu bantah campur tangan asing

NAIB Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris. -Foto Rozainah Zakaria
NAIB Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris. -Foto Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu membantah keras campur tangan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) dalam urusan pentadbiran negara.

Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris, berkata kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mampu menangani pelbagai isu terutamanya membabitkan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Katanya, pelbagai tuduhan terutamanya berkaitan isu 1MDB seperti yang dilontarkan oleh DoJ, adalah tidak betul dan bertujuan menjatuhkan Presiden UMNO.

"Pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara akan terus mempertahankan Najib sebagai Presiden dan membantah keras campur tangan asing terutamanya DoJ.

"Kita juga kesal dan sedih apabila ada antara pemimpin parti pembangkang memperbesarkan isu melalui media sosial menyebabkan wujud kekeliruan dalam kalangan rakyat," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO bahagian Kuala Terengganu dirasmikan oleh Pengerusi Biro Briged Kesatria Muda, Datuk Armand Azha Abu Hanafiah.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Najmil Faiz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, DoJ dan kerajaan AS digesa tidak mencampuri urusan pentadbiran negara.

Beliau juga membidas sikap pemimpin parti pembangkang termasuk bekas timbalan perdana menteri yang berbohong dalam isu berkaitan mengenai 1MDB.

Katanya, kenyataan terbaharu berkaitan DoJ menunjukkan pemimpin parti pembangkang tidak memahami proses undang-undang negara.

Berita Harian X