Jumaat, 12 Ogos 2016 | 11:23pm

Kanak-kanak 5 tahun hilang sejak semalam

NOOR Amila Edrus Norsham.

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dilaporkan hilang sejak semalam.

Kehilangan Noor Amila Edrus Norsham disedari bapa, Norsham Jalil, 63, selepas kali terakhir dilihat di Surau Blok C kawasan rumah panjang dekat Jinjang Utara jam 7.20 malam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata pihaknya kini sedang berusaha mengesan kanak-kanak berkenaan.

"Sehingga hari ini, kanak-kanak terbabit masih belum ditemui dan soal siasat terhadap bapanya, dia memberitahu tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak atau berhutang dengan along," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Munusamy berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau melihat kanak-kanak terbabit diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Berita Harian X