Sabtu, 13 Ogos 2016 | 12:14am
PAKAR Kesihatan Awam Veterinar, Prof Dr Saleha Abdul Aziz. - Foto Saifullizan Tamadi
CAKARAN kucing yang boleh menyebabkan jangkitan kuman kepada manusia.
KEBANYAKAN haiwan peliharaan dan haiwan lain seperti hamster dan tikus membawa penyakit bakteria saluran usus yang menyebabkan penyakit seperti demam tifoid, keracunan makanan dan radang usus.
SPOROTRIKOSIS iaitu sejenis jangkitan kulat yang terdapat pada kucing misalnya, boleh berpindah kepada manusia dalam bentuk kudis sekiranya tidak berhati-hati ketika menyentuhnya.

Awasi punca penyakit Zoonotik daripada haiwan peliharaan


MEMANG seronok membelai haiwan peliharaan seperti kucing, hamster atau sugar glider yang gebu tetapi di sebalik kecomelan haiwan ini tersembunyi bakteria yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Sekiranya tidak berhati-hati dalam penjagaan kebersihan khususnya selepas menyentuh haiwan ini, ia boleh mengundang risiko penyakit berjangkit.

Pensyarah Kanan Biokimia Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Mokrish Md Ajat, berkata haiwan peliharaan dan haiwan perosak yang berkeliaran di rumah seperti tikus, berisiko membawa bakteria yang menyebabkan penyakit zoonotik.

Penyakit zoonotik, kata beliau, adalah jangkitan yang dijangkiti daripada haiwan kepada manusia oleh bakteria, virus, parasit serta kulat yang boleh mengganggu sistem tubuh manusia.

"Jangkitan menyebabkan gangguan kesihatan yang menimbulkan gejala seperti demam, keracunan makanan malah membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan betul dan segera," katanya ketika ditemui di Serdang, Selangor baru-baru i ni.

Kudis sebar bakteria manusia haiwan


TINGKAT amalan kebersihan, elak dijangkiti.

Dr Mohd Mokrish berkata, ramai memandang remeh penyakit zoonotik kerana serangan itu jarang berlaku terutama membabitkan haiwan peliharaan walaupun hakikatnya boleh menjejaskan kesihatan dalam jangka masa panjang.

Sporotrikosis iaitu sejenis jangkitan kulat yang terdapat pada kucing misalnya, boleh berpindah kepada

manusia dalam bentuk kudis sekiranya tidak berhati-hati ketika menyentuhnya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam Veterinar, Prof Dr Saleha Abdul Aziz, berkata kebanyakan haiwan peliharaan dan haiwan lain seperti hamster dan tikus membawa penyakit bakteria saluran usus yang menyebabkan penyakit seperti demam tifoid, keracunan makanan dan radang usus.

"Bakteria ini dikeluarkan melalui najis haiwan terbabit yang boleh merebak ke kulitnya dan menular kepada sarang dan permukaan perabot rumah," katanya.

Katanya jangkitan boleh berlaku sekiranya seseorang mempunyai luka dan menyentuh haiwan ini atau melalui makanan yang terdedah dan tercemar dengan bakteria ini.


ELAK jangkitan bakteria kepada keluarga.

Segelintir individu yang dijangkiti bakteria tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala sebaliknya hanya mengalami demam tetapi boleh memberikan kesan buruk ke atas buah pinggang.

Akibat tidak menunjukkan sebarang petanda dijangkiti, kebanyakan kes tidak dapat dikesan oleh doktor dan menyebabkan mangsa akhirnya meninggal dunia.

Antara kes jangkitan bakteria yang kerap berlaku adalah jangkitan kencing tikus atau leptospirosis yang membabitkan kematian selepas terdedah dengan bakteria berkenaan.

Justeru, amalan penjagaan kebersihan penting dalam menguruskan haiwan peliharaan di rumah termasuk memastikan haiwan berkenaan mendapat suntikan vaksin selain sentiasa memastikan rumah sentiasa dibersihkan.

Pastikan makanan di rumah tidak terdedah dan juga pastikan susu segar sama ada daripada lembu atau kambing di rebus sehingga mendidih terlebih dulu sebelum diminum.


PENSYARAH Kanan Biokimia Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Mokrish Md Ajat. - Foto Saifullizan Tamadi

INFO:

Terdapat lebih 200 penyakit zoonotik mengikut senarai WHO.

Penyakit cakaran kucing:

  • Berpunca berpunca daripada bakteria bartonella
  • Dijangkiti selepas dicakar, digigit kucing atau terkena air liur kucing.
  • Bakteria lebih banyak didapati dibawa oleh anak kucing berbanding kucing dewasa.

Gejala:

  • Luka (melepuh, benjolan) selepas tiga hingga 10 hari selepas jangkitan.
  • Demam (bagi sesetengah pesakit mengalami sakit kepala)
  • Kelenjar limfa membengkak berhampiran kawasan cakaran atau gigitan (berlaku sehari hingga empat minggu selepas jangkitan)

Gejala lain:

  • Limfa membesar
  • Hilang selera makan
  • Sakit tekak
  • Berat badan menurun
  • Gejala lebih teruk dalam kalangan pesakit yang rendah sistem imun seperti kanak-kanak, orang tua dan pesakit kronik lain.

Jangkitan Bakteria

1. Leptospirosis:

Kaedah jangkitan:

- Air kencing tikus mengandungi bakteria leptospira

- Objek yang tercemar dengan air kencing seperti permukaan tanah dan air sungai atau air terjun

Gejala:

Fasa 1-Sakit kepala, sakit otot, sakit mata dengan silau, rasa dingin dan demam.

Fasa 2-Demam dengan tegang pada leher, radang saraf, mata, otak dan tulang belakang.

Risiko:

- Dikaitkan dengan penyakit hati (jaundis) dan buah pinggang

2. Salmonellosis;

Dibawa oleh anjing, kucing, monyet, tikus, reptilia seperti kura-kura, ayam dan ikan, lembu dan babi.

Gejala:

-Cirit birit, demam, sakit kepala dan jangkitan pada organ atau tisu.

3. Bruselosis

Dibawa oleh lembu, kambing (susu mentah) dan anjing

Gejala:

-Demam panas, jangkitan pada tulang, jantung, pundi kencing, buah pinggang.

Virus

Penyakit:

- Selsema burung

- Denggi

- Zika

*Parasit:

- Malaria

- Cacing

- Kutu badan

870 dibaca
Berita Harian X