Sabtu, 13 Ogos 2016 | 10:03am
Foto hiasan

Buaya 4.5 meter masuk perangkap di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN: Penduduk Kampung Birau, Tutong, di sini dikejutkan apabila seekor buaya berukuran 4.5 meter panjang masuk ke perangkap yang dipasang di Sungai Birau, dekat Kampung Lamunin, semalam.

Seorang penangkap buaya, Md Isa Hj Layeh memberitahu The Brunei Times menerusi telefon, buaya itu sudah lama kelihatan di kampung berkenaan terutama di kawasan sungai berhampiran Jalan Kecil Birau-Sentol, dekat ladang kerbau penduduk kampung.

"Beberapa kerbau milik penduduk kampung hilang, jadi kami mula membina perangkap beberapa hari lalu," katanya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk kampung berjaya menangkap lebih daripada lima reptilia berkenaan yang menyebabkan kemusnahan ladang dan ternakan di kampung itu.

Md Isa berkata, buaya dipercayai lebih 4.5 meter panjang dan 0.6 meter lebar itu masuk ke perangkap sekitar jam 7 pagi semalam.

Beliau dan penduduk kampung kemudian mengikat buaya itu sebelum dibawa ke darat.

Sebagai langkah keselamatan, selain memasang perangkap, pihaknya turut menasihatkan penduduk kampung dan pengunjung lain supaya tidak berada terlalu dekat dengan sungai dan sekitarnya.

"Ramai datang ke sungai ini untuk memancing, jadi kami sentiasa memberi amaran kepada mereka supaya lebih berhati-hati dan menjauhi kawasan di mana buaya ini biasanya dikesan," katanya. - Agensi

Berita Harian X