Ahad, 14 Ogos 2016 | 12:17am
RAZI mendaki bukit curam di sekitar Alam Budiman Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
RAZI mengangkat basikalnya ketika mendaki bukit curam di sekitar Alam Budiman Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Geng ABCC puas redah hadangan


SHAH ALAM: Basikal kebiasaannya lebih sinonim dengan golongan kanak-kanak atau remaja belasan tahun ataupun penunggang amatur setiap hujung minggu.

Bagaimanapun, tidak bagi Basikal Bukit Moden (MTB) yang sentiasa menjadi kegilaan peminat sukan basikal lasak kerana kehebatannya dalam memberikan kepuasan ketika menunggang.

Kerangka yang kukuh, ringan dan kelihatan 'sporty' turut menjadikan basikal ini sangat popular tidak kira bagi peminat tegar MTB mahupun penunggang basikal biasa.

Revolusi basikal gunung dimodenkan mengikut peredaran masa dan acara yang dipertandingkan. Saban tahun, sentiasa ada penambahbaikan teknikal terutama bagi sistem suspensi, kelajuan, ketahanan serta aerodinamik.

Hakikat itu diakui seorang penggiat MTB, Razi Effendi Suhit, 36, yang begitu ketagih melayan cabaran meredah permukaan bumi yang kasar serta keseronokan mendaki bukit curam ditambah dengan kelajuan maksimum sekitar selekoh.


PENGGIAT MTB, Razi Effendi Suhit. - Foto Muhammad Sulaiman

Walaupun tidak perlu menjadi profesional untuk menggunakan MTB, beliau mengakui penunggang memerlukan latihan berterusan untuk mendapatkan kombinasi yang betul terutama dalam menggabungkan kekuatan, ketahanan dan kemahiran. 

Katanya, sebagai pemain bola sepak, stamina adalah paling penting baginya dan MTB nyata memenuhi apa yang diinginkan apabila sukan lasak itu bukan saja menguji kecergasan fizikal.

Selain itu, sukan ini turut memerlukan kekuatan mental kerana pemain perlu menyusun strategi dalam menempuhi cabaran laluan lasak yang berbukit.

"Selalunya saya akan menghabiskan masa cuti hujung minggu meredah beberapa kawasan trek sukan ekstrem di sekitar Selangor bersama rakan-rakan kerana selain berkayuh, kami menikmati keindahan alam semula jadi di sepanjang laluan.

"Walaupun pernah mengalami kecederaan di bahagian lutut dan terpaksa menerima jahitan akibat terjatuh, ia sedikit pun tidak pernah mematahkan semangat saya. 


RAZI ketagih melayan cabaran meredah permukaan bumi yang kasar. - Foto Muhammad Sulaiman

"Sukan ini bukan saja memberikan kepuasan maksimum, ia juga boleh dinikmati bersama ahli keluarga," katanya yang mmiliki MTB Ghost Lector 6 (Karbon) 2015 dan membelanjakan lebih RM17,000 untuk hobi lasaknya itu.

Di sebalik semua itu, Razi sebenarnya lebih gembira dapat berkongsi keseronokan bersama rakan dan tidak hairanlah, hampir setiap minggu beliau bersama sekumpulan peminat MTB sanggup menghabiskan masa hujung minggu mencari cabaran baharu.

Minggu lalu, Razi bersama ahli Kelab Berbasikal Alam Budiman (ABCC) menggunakan sepenuhnya kesempatan cuti hujung minggu untuk meredah bukit dan laluan sukar di sekitar Alam Budiman Shah Alam yang turut menjadi tumpuan peminat motorcross.

Razi bersama Irwan Asbiran, Zulkifli Muftah, Tengku Farizul Hazly, Khairil Nizam Saderi, Mohd Hafiz Marjuni dan Noor Haimay Mohamad Noor bermandi peluh menikmati segala hadangan.

Bagi Mohd Hafiz, peluang berkumpul bersama peminat MTB itu adalah kesempatan terbaik untuk berkongsi pengalaman, teknik dan paling penting dapat mengeratkan hubungan sesama mereka.

"Bagi ahli baharu, inilah peluang untuk mencari pengalaman. Kami sebenarnya seperti satu keluarga hanya kerana mempunyai minat yang sama. Itulah kelebihannya, bukan sekadar untuk menjaga kesihatan dan riadah," katanya.


(DARI kiri) Razi, Irwan Asbiran, Zulkifli Muftah, Tengku Farizul Hazly, Khairil Nizam Saderi, Mohd Hafiz Marjuni dan Noor Haimay Mohamad Noor menghabiskan masa hujung minggu menunggang basikal MTB di sekitar Alam Budiman Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Profil

Razi Effendi Suhit

Umur: 36 Tahun

Pekerjaan: Pemain Bola Sepak

Pencapaian: Pingat Emas Jamboree Elmina Sutama 2014 (100 terbaik)

Berita Harian X