Ahad, 14 Ogos 2016 | 12:50am

EPL: Everton, Spurs kongsi mata, Swansea, West Brom ceria

PEMAIN Burnley, Andre Gray diasak pemain Swansea, Stephen Kingsley dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Turf Moor, sebentar tadi. - Foto Reuters

LIVERPOOL: Tandukan emas babak kedua Erik Lamela memastikan Tottenham Hotspur membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan meraih satu mata berharga apabila mengikat Everton 1-1 di Goodison Park, di sini, sebentar tadi.

Corak permainan menyerang dan tekanan tinggi The Toffees menyebabkan Spurs bergelut pada babak pertama dan mereka membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma Ross Barkley yang melepasi jangkauan penjaga gol Tottenham Hugo Lloris.

Penjaga gol utama Perancis itu kemudian terpaksa diusung keluar pada minit ke-35 gara-gara kecederaan hamstring.

Skuad pelawat di bawah bimbingan Mauricio Pochettino itu menyamakan kedudukan apabila pemain sayap Argentina Lamela bijak menyempurnakan bola hantaran lintang sebelah kanan Kyle Walker.

Swansea City pula membuka langkah kanan apabila menumbangkan Burnley 1-0 menerusi jaringan Leroy Fer hanya lapan minit sebelum perlawanan di Stadium Turf Moor berakhir.

Sementara itu, penyerang Salomon Rondon muncul wira West Brom apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-72 membantu pasukannya itu mengetepikan cabaran Crystal Palace 1-0 di Stadium Selhurst Park.

Dalam pada itu, Middlesbrough dan Stoke City sekadar terikat 1-1 manakala Southampton bangkit mengikat Watford 1-1. - Agensi

Berita Harian X