Ahad, 14 Ogos 2016 | 12:59am

T-Team ke suku akhir, JDT II, Sarawak tersingkir

PEMAIN T-Team Patrick Dos Santos Cruz (kiri) diasak pemain Kedah, Mohamad Syawal Nordin pada saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam tadi. - Foto Sharul Hafiz Zam

KUALA LUMPUR: T-Team muncul pasukan terbaharu mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas mengejutkan Kedah 1-0 di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Jaringan tunggal Abdoulaye Maiga pada minit ke-58 sudah cukup untuk menceriakan skuad The Titans dan menjadi pasukan kelab kedua yang mara ke suku akhir selepas FELDA United FC.

Kejayaan The Titans itu bagaimanapun memberi kekecewaan kepada dua lagi pasukan dalam Kumpulan A, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan Sarawak yang terikat 1-1 di Stadium Negeri, Kuching.

Sarawak terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke-14 sebelum Mohd Fandi Othman menyamakan kedudukan buat JDT II tiga minit sebelum berakhir babak pertama.

Bagi aksi Kumpulan C pula, peluang semua pasukan masih terbuka dengan Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PKNS FC berkongsi tujuh mata sementara JDT hanya ketinggalan satu mata di belakang.

Perak yang memerlukan kemenangan untuk mara lebih awal ke suku akhir terpaksa akur selepas tewas 1-2 kepada PKNS di Stadium Shah Alam.

Skuad The Bos Gaurus terlebih dulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan kapten, Mohd Shahrul Saad pada minit ke-26.

Bagaimanapun, kedudukan itu hanya bertahan untuk separuh masa pertama sahaja apabila PKNS menyamakan kedudukan enam minit selepas bersambung babak kedua menerusi jaringan Juan Manuel Corbelli.

Matias Nicolas Hadwa muncul pemusnah buat The Bos Gaurus apabila pemain antarabangsa Palestin itu menjaringkan gol kemenangan PKNS pada minit ke-81.

Sementara itu, di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos, Larkin, JDT menghidupkan kembali peluang ke suku akhir selepas membelasah PDRM 4-1.

Amri Yahyah dan Mohd Nazrin Nawi muncul wira skuad Harimau Selatan selepas masing-masing meledak dua gol sementara jaringan tunggal PDRM di hasilkan Guilherme De Paula pada minit ke-44.

Berita Harian X