Ahad, 14 Ogos 2016 | 8:14am

Saya bukan lagi watak jahat - Gatlin

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran. - NSTP/Azhar Ramli

RIO DE JANEIRO: Justin Gatlin mengkritik perenang Amerika Syarikat, Lilly King selepas mendahului peringkat saringan 100 meter, sekali gus terus kekal selaku pencabar kepada Usain Bolt.

Bintang remaja itu mencuri tumpuan apabila menyatakan rakan sepasukannya seperti Gatlin yang pernah gagal dalam ujian doping sebelum ini perlu dihalang daripada menyertai Olimpik.

Namun Gatlin, 34, yang sebelum ini pernah disabitkan sebanyak dua kali dengan kesalahan doping, akhirnya membalas kenyataan King selepas menyudahkan peringkat saringan 100 meter dengan catatan 10.01 saat.

"Saya pun tidak kenal siapa itu Lilly King - dia bertanding dalam acara renang dan bukannya dalam acara trek. Jadi saya tidak risau mengenai itu," katanya kepada pemberita selepas menamatkan perlumbaan.

Juara Olimpik 2004 itu menegaskan dia bukan lagi watak jahat dalam dunia olahraga apabila dia menerima balasan atas kesalahannya selepas digantung empat tahun akibat disabitkan dengan kesalahan doping.

"Saya yakin dengan polisi yang ditetapkan. Agensi Anti Doping Amerika Syarikat (USADA) dan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) melakukan kerja mereka dengan baik.

"Saya sudah kembali dan menyelesaikan apa yang sepatutnya saya terima. Saya bekerja keras untuk layak ke Olimpik. Saya diuji seperti orang lain dan saya percaya dengan sistem ini sama seperti orang lain."

Gatlin mencatat masa terpantas dengan juara bertahan, Bolt hanya sekadar empat terpantas dengan catatan 10.07 saat.

Pemegang rekod berusia 30 tahun itu turut akan mempertahankan gelarannya dalam acara 200 meter dan 4x100 lari berganti-ganti buat kali ketiga. - AFP

Berita Harian X