Isnin, 15 Ogos 2016 | 7:19am

Tiada 31 Julai, maka tiada 31 Ogos

TIDAK keterlaluan kalau saya katakan bahawa tiada tarikh 31 Julai, maka tiada tarikh 31 Ogos. Tarikh 31 Julai, kita raikan Hari Pahlawan. Tarikh 31 Ogos Hari Merdeka!

Di dalam merealisasikan penghormatan kita terhadap pahlawan negara, banyak perkara yang boleh kita lakukan, sama ada mengadakan majlis mengingati Hari Pahlawan melalui media massa, mengadakan majlis membaca puisi, majlis tahlil atau mengadakan peringatan atau kalungan bunga di Tugu Peringatan dan sebagainya.

Namun, yang paling mudah dan terkesan ialah dengan menelaah buku sejarah atau menonton filem patriotik. Ia boleh mencetuskan kesedaran terhadap jasa dan pengorbanan mereka terhadap negara tercinta ini.

Di sini saya menggarap filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsuddin mengenai betapa besarnya pengorbanan pahlawan kita berjuang mempertahankan bumi bertuah ini daripada terjajah. Bukit Kepong adalah sebahagian kisah tragedi sedih yang dialami buat sekian balu kepada seluruh ahli balai yang terbunuh di Balai Polis Bukit Kepong, yang hanya tinggal suara anak-anak kecil merintih dalam kesayuan dek kehilangan ayah dan ibu.

Imbas sejarah lampau

Bukit Kepong mengimbas sejarah lampau yang berlaku pada tanggal 20 Februari 1950. Peristiwa itu segar dalam ingatan. Ketika peristiwa berkenaan berlaku, sebilangan besar ibu bapa kita mungkin belum diijab kabul lagi. Sesungguhnya, kita terhutang budi kepada Jins Shamsuddin kerana pembikinan filem bermutu dan mempunyai nilai estetika tersendiri.

Selain itu, kita juga wajar menggarap kembali tokoh sejarah pembinaan sebuah negara bangsa kita iaitu Leftenan Adnan. Beliau yang mempunyai susuk badan yang tidaklah sado dan sasa tetapi teramat kental jiwanya, terlalu cekal hatinya serta tersangat murni pekertinya.

Leftenan Adnan Saidi seorang anak muda yang sanggup korbankan masa remajanya. Walaupun bertubuh kecil, dia sanggup memikul senjata merentasi belantara memburu musuh durjana. Jiwanya tidak rela bumi bertuah ini diinjak dan dipijak musuh dan petualang negara. Itulah Leftenan Adnan, pejuang dan pahlawan yang dilahirkan untuk mempertahankan ibu pertiwi. Kisah dan riwayat hidupnya berakhir di medan tempur dengan meninggalkan balu dan tiga anak, termasuk seorang anak kecil yang baru dilahirkan.

Hati sesiapapun menjadi sayu apabila mengingati bagaimana jasadnya diaibkan dan diseksa oleh tentera Jepun, setelah dia gugur di medan tempur. Jasadnya dimasukkan ke dalam karung guni, dan ramai tentera Jepun menikam mayat itu bertubi-tubi. Malah, lehernya dikelar dengan pedang samurai sehingga memancut darahnya, keluar membasahi bumi tanah tumpahnya.

Tanggal 15 Februari 1942, tarikh keramat itu telah menyaksikan pahlawan negara gugur sebagai wira tanah air tercinta. Namun, di dalam kesedihan itu, Leftenan Adnan bukan sebarangan. Semangat dan kekentalan jiwa dan kehebatannya menentang musuh menjadi perangsang yang tiada bandingan, sehinggakan Jeneral Yamashita yang terkenal sebagai 'Harimau Malaya' berkata, 'jika ada 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun.'

Sesungguhnya, peristiwa pertempuran hebat Bukit Kepong serta kisah ketangkasan dan semangat waja Leftenan Adnan sebagai sebuah sejarah yang sudah berlalu dan menjadi suatu paparan yang terpahat suatu ketamadunan bangsa kita. Di sebalik dua kisah itu, ada banyak lagi peristiwa dan ramai lagi perwira kita yang berhati waja dan ada yang terkorban di medan perang. Ada juga yang masih hidup - yang kita tidak mampu untuk memperincikan satu persatu.

Persoalannya, kenapa saya hanya menggarapkan dua kisah ini untuk menjadi teladan? Jawapannya, sesungguhnya mereka berdua adalah ikon yang mewakili dua organisasi besar pertahanan negara iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Suka saya tegaskan bahawa dalam kita begitu kecewa kekalahan dua tokoh itu, ia tetap menggamit memori kita bahawa mereka amat berjasa kepada negara. Dalam kita menikmati segala keindahan dan kesenangan hidup hari ini, kita akan terimbas betapa sukarnya wira negara menyambung hayat di medan tempur.

Mereka bersengkang mata, bermandi peluh dan meminum air sungai atau tasik dengan bermuzikkan bunyi peluru atau mortar demi anak cucu cicit mereka termasuk kita. Ada yang tercedera dan cacat anggota serta pelbagai kekurangan. Ada isteri yang menjadi janda. Ada anak yang menjadi piatu.

Ringan beban veteran ATM

Maka, marilah kita sama-sama menyumbang untuk meringankan bebanan veteran ATM agar isteri dan anak-anak mereka dapat mengecap hidup seperti isteri dan anak orang lain. Justeru, saya menyeru agar kita sama-sama menyumbang untuk masa hadapan veteran ATM. Sumbangan anda boleh dibuat melalui Persatuan Veteran ATM (PVATM) iaitu sekiranya melalui 'PVATM (Tabung Pahlwan)' bermula 31 Julai hingga 31 Disember ini.

Dalam hal ini kita berbangga, seperti yang diungkapkan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika merasmikan Tabung Pahlawan tanggal 31 Julai lalu di ibu negara. Rosmah menegaskan bahawa kerajaan kita begitu prihatin di dalam membela perajurit negara.... seperti ungkapan Jennifer M Granholm, Ceremonies are important. But our gratitude has to be more than visits to the troops, and once-a-year Memorial Day ceremonies. We honor the dead best by treating the living well!

Berita Harian X