Isnin, 15 Ogos 2016 | 9:47am
ANGGOTA penyelamat memeriksa lokasi kejadian nahas di Alabama. - Sumber newsobserver.com
ANGGOTA penyelamat memeriksa lokasi kejadian nahas di Alabama. - Sumber newsobserver.com

6 maut pesawat terhempas di Alabama

TUSCALOOSA: Enam terbunuh apabila pesawat kecil dalam penerbangan dari Florida ke Oxford, Mississippi, yang mengalami masalah enjin terhempas ketika cuba mendarat di Alabama.

Juruterbang memberikan isyarat kecemasan kira-kira jam 11.10 pagi waktu tempatan semalam, dan pesawat berkenaan terhempas beberapa minit kemudian di landasan Lapangan Terbang Tuscaloosa, kata Datuk Bandar Northport, Bobby Herndon, ketika sidang akhbar bersama dengan Datuk Bandar Tuscaloosa, Walt Maddox.

Pasukan bomba tiba di lokasi dalam masa tiga minit tetapi tidak dapat menyelamat semua enam mangsa dalam pesawat itu.

"Mereka melakukan apa yang terdaya," kata Herndon.

Kenyataan dari Pentadbiran Penerbangan Persekutuan berkata, pesawat Piper PA-31 berlepas dari Lapangan Terbang Kissimmee Gateway dan terhempas di atas pokok ketika mendekati lapangan terbang Tuscaloosa.

Jurucakap polis Tuscaloosa, Leftenan Teen Richardson, berkata destinasi akhir pesawat berkenaan adalah Oxford tetapi ia mengalami masalah enjin.

Tidak dapat dipastikan sama ada Tuscaloosa menjadi persinggahan yang dirancang sebelum masalah enjin berlaku, katanya.

Nama mangsa tidak disiarkan tetapi laporan WLBT-TV menyatakan peguam dari Memphis, Steve Farese dan anak saudaranya, Dr Jason Farese dan isterinya, Dr Lea Farese, berada dalam kapal terbang berkenaan. - AP

Berita Harian X