Isnin, 15 Ogos 2016 | 10:27am

ESTCON 2016 agenda selamatkan bumi

KAMPUS Universiti Teknologi PETRONAS di Seri Iskandar.

SERI ISKANDAR: Sebanyak 100 batang pokok pelbagai jenis ditanam di sekitar kampus Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di Tronoh, Perak sempena penganjuran Kongres Kejuruteraan, Sains & Teknologi (ESTCON) 2016 yang bermula hari ini.

Inisiatif diambil UTP itu bagi membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan gas rumah hijau, selain melindungi kepelbagaian bio dan ekologi untuk generasi akan datang, sekali gus membentuk masa depan lebih mapan.

Naib Canselor UTP, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim, berkata pokok yang ditanam akan menyumbang secara kecil untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan gas rumah hijau, selain membantu melindungi kepelbagaian bio dan ekologi generasi akan datang.

Inisiatif terbaru menanam 100 pokok itu menjadikan lebih 600 pokok seperti durian, rambutan, manggis serta jambu batu sudah ditanam di sekitar kampus UTP, termasuk semasa ESTCON 2010, 2012 dan 2014.

Abdul Rahim berkata, penanaman pokok itu antara usaha UTP dalam mengurangkan kesan karbon yang mana pelepasan karbon dioksida menjadi satu daripada penyumbang utama kepada perubahan iklim yang pesat.

Cabaran manusia hari ini

"Perubahan iklim yang serius dan tidak boleh diubah menjadi cabaran manusia hari ini. Untuk mengehadkan kesan pemanasan global, ada keperluan untuk menambah baik dan penyelesaian teknologi yang lebih berpatutan sama ada dalam pengurusan karbon atau tenaga diperbaharui," katanya.

Mengenai ESTCON 2016, beliau berkata, ia akan terus fokus kepada agenda 'Selamatkan Bumi' untuk meminimumkan pemanasan global menerusi penanaman pokok dengan kos bagi setiap pokok yang ditanam di kampus UTP ditaja menerusi sumbangan kakitangan universiti sendiri dan rakan UTP yang lain.

Kutipan itu kemudian akan diguna bagi menampung aktiviti penanaman pokok, selain turut disalurkan kepada Dana Dermasiswa Yayasan Universiti Teknologi PETRONAS (YUTP) bagi menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar UTP.

ESTCON ialah kongres terbesar dunia dengan sembilan persidangan diadakan serentak, iaitu Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Petroleum & Geosains (ICIPEG2016); Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Sivil, Luar Pesisir & Alam Sekitar (ICCOEE2016).

Persidangan Antarabangsa Pengeluaran, Tenaga dan Kebolehpercayaan (ICPER2016); Persidangan Antarabangsa Bahan Maju dan Kejuruteraan Proses (ICPEAM2016); Persidangan Antarabangsa Sistem Maju dan Pintar (ICIAS2016).

Persidangan Antarabangsa Sains Maklumat & Komputer (ICCOINS2016), Persidangan Antarabangsa Sains Gunaan dan Asas (ICFAS2016), Persidangan Antarabangsa Pengurusan dan Kepimpinan (ICLM2016) serta Persidangan Antarabangsa Kemanusiaan dan Sains Sosial (ICHSS2016).

ESTCON 2016 yang bertemakan 'Kejuruteraan, Sains, Teknologi dan Kemanusiaan: Penumpuan Bagi Masa Depan Mapan, berlangsung mulai hari ini hingga Khamis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Ia dijadual dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Majlis penutup pula dijadual disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau.

ABDUL Rahim menanam pokok di kampus UTP, Seri Iskandar sempena ESTCON 2016.- Foto Ihsan PEMBACA

Lestari kehidupan

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta Pengarah Eksekutif Institut Bioengineering dan Nanoteknologi dari Singapura, Prof Jackie Y Ying akan menyampaikan ucaptama plenari.

Kongres tiga hari ini adalah satu-satunya kongres yang menghimpunkan kira 1,000 pakar dari lebih 40 negara dengan pelbagai latar belakang bidang dan kepakaran penyelidikan serta inovasi bagi melestarikan pengetahuan untuk kehidupan masyarakat yang lebih baik.

Ia juga sebahagian usaha serius UTP dalam mempromosi penyelidikan usaha sama, khususnya dalam bidang kejuruteraan, sains, teknologi dan kemanusiaan.

ESTCON 2016 juga meneruskan tradisi ESTCON 2014 dengan menganjurkan sesi 'Padanan Inovasi' yang membolehkan pencipta dan ahli inovasi membentangkan ciptaan serta teknologi baharu masing-masing kepada pelabur berpotensi.

Berita Harian X