Isnin, 15 Ogos 2016 | 11:52am

Pacu kejuruteraan kimia lonjak penarafan universiti - Idris

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan pemerkasaan bidang kejuruteraan, khususnya dalam industri kimia untuk melonjak penarafan universiti ke kelompok 100 teratas dunia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) setakat ini melakar pelbagai kejayaan serta berada di landasan tepat dalam bidang penyelidikan kejuruteraan kimia.

Katanya, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) tidak ketinggalan dalam mengharumkan negara, khususnya menerusi penyelidikan kejuruteraan kimia dan bidang yang relevan dengan pasaran semasa.

"Sehubungan itu, kita mahu universiti di Malaysia membuka pintu kerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi lain, sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa untuk meraih pelbagai manfaat.

"Kita ingin meneroka bidang lain menerusi kolaborasi sama seperti kepemimpinan dan sains alam sekitar yang berupaya melonjak penarafan institusi pengajian tinggi.

"Rantaian impak kejayaan ini akhirnya memacu kualiti institusi pengajian tinggi, selain menjana manfaat untuk kebaikan manusia sejagat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Teknologi, Sains dan Kejuruteraan Dunia (ESTCON) 2016 di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan PETRONAS, Datuk Seri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Canselor UTP, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim.

ESTCON 2016 bertema `Kejuruteraan, Sains, Teknologi dan Kemanusiaan: Penumpuan Demi Masa Depan Yang Lestari' yang berlangsung tiga hari hingga Rabu ini, turut membabitkan 1,200 peserta dari lebih 40 negara, selain 24 pempamer.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, pelbagai rangkaian kerjasama dan peluang inovasi untuk manfaat penggiat industri serta agensi diwujudkan sejak penganjuran pertama ESTCON pada tahun 2010.

Kongres dwitahunan itu, katanya, turut memanfaatkan kumpulan penyelidik di negara ini kerana berpeluang membentangkan produk untuk penilaian panel antarabangsa, sekali gus melonjak peluang dalam menembusi pasaran global.

Berita Harian X