Isnin, 15 Ogos 2016 | 2:10pm

Pengusaha stesen minyak didenda RM72,000 gagal bayar GST

KUALA LUMPUR: Seorang pengusaha stesen minyak didenda RM72,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai April hingga Disember tahun lalu.

Majistret Shamsudin Abdullah turut memerintahkan Nur Izzati Beatrice Haekal Ngauh, 42, menjalani hukuman penjara 27 bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga kesembilan, tertuduh didakwa gagal mengemukakan borang GST-03 mengikut Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta 762) di Nur Fattah Arrazak Enterprise, Lot 17774, Jalan 2, Taman Desa Jaya, dari April sehingga Disember 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta 762) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Raya Kastam Diraja Malaysia ( KDRM), Jamilah Abdul Rauf manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X