Isnin, 15 Ogos 2016 | 4:23pm

Malaysia sasar Tier Satu perangi pemerdagangan orang


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Malaysia meletak sasaran mencapai penilaian Tier Satu berdasarkan Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang menjelang tahun 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sasaran itu mampu dicapai melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang (2016-2020), membabitkan kerjasama pelbagai agensi memerangi jenayah terbabit.

Ahmad Zahid berkata, ia dengan sendirinya meningkatkan imej dan integriti negara, selain meletakkan Malaysia setaraf dengan negara Tier Satu yang majoritinya adalah negara maju.

"Pelan ini memperlihatkan keseriusan kita dalam bentuk kerja baik yang dilakukan dan memastikan negara sumber tidak diberi taraf yang lebih baik berbanding kita," katanya ketika berucap melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang 2016-2020 di sini, hari ini.

Malaysia kini berada di Tier Dua berdasarkan laporan JNAS mengenai pemerdagangan orang yang dikeluarkan baru-baru ini.

Pelan tindakan berkenaan adalah kesinambungan bagi pelan sama bagi tempoh 2010 hingga 2015 sebelum ini, yang menyediakan hala tuju dan panduan untuk kementerian serta agensi terbabit bekerjasama secara bersepadu dan menyeluruh bagi memerangi jenayah itu.

Ia menggariskan lima prinsip panduan seperti tanggungjawab kerajaan, penyertaan masyarakat sivil, layanan terhadap mangsa berdasarkan hak asasi manusia, penyelarasan dalam kalangan pelbagai agensi dan penilaian sistematik serta ketahanan.

Ia juga mempunyai sembilan matlamat strategik dan disokong sembilan bidang program seperti pengukuhan mekanisme undang-undang, tindakan bersepadu agensi penguatkuasaan, kesedaran awam dan pencegahan, perlindungan dan pemulihan, membanteras pemerdagangan buruh, bina upaya, pengurusan maklumat, perkongsian pintar serta mengukur prestasi dan ketahanan.

Pelan itu turut menggariskan transformasi yang dilaksanakan kerajaan susulan pindaan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 pada tahun lalu bagi memperkukuh aspek perlindungan mangsa.

119 dibaca
Berita Harian X