Selasa, 16 Ogos 2016 | 12:49am
PENANAM ketum dan pengamal perubatan tradisional di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang meminta kerajaan mempertimbangkan semula dan membenarkan cadangan RISDA menanam ketum bagi tujuan komersial. - Foto fail NSTP/Omar Osman

Kumpulan rayu RISDA dibenar tanam ketum untuk komersial

KANGAR: Penanam ketum dan pengamal perubatan tradisional di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang meminta kerajaan mempertimbangkan semula dan membenarkan cadangan RISDA menanam ketum bagi tujuan komersial.

Pengerusi Gabungan Setia Melayu Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ibrahim yang bercakap bagi pihak wakil-wakil kumpulan berkenaan berkata penyelidikan tidak menemui bukti ketum membahayakan kesihatan.

"Kami mempertahankan ketum harus dibenarkan ditanam bagi menambah pendapatan (pekebun) lebih-lebih lagi semasa harga getah sangat murah sekarang," kata Mohd Ridzuan pada sidang media selepas sesi penerangan oleh wakil-wakil kumpulan itu di sini, pada Isnin.

Hampir 100 orang penanam dan pengamal ketum dalam perubatan tradisional hadir pada sidang media itu selain seorang ahli perniagaan, Ooi Teik Lee yang mengeksport ketum ke Amerika Syarikat dan Eropah sejak tahun 2008.

Ooi mengusahakan eksport bahan itu di Medan, Indonesia.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin baru-baru ini mencadangkan kerajaan membenarkan pekebun kecil menanam ketum untuk dieksport bagi menambah pendapatan namun mendapat reaksi negatif dari pelbagai pihak.

Mohd Ridzuan berkata, penyelidikan selama 10 tahun pakar Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, Dr Darshan Singh pula menyifatkan ketum sebagai tumbuhan tidak membahayakan kesihatan atau mengakibatkan kesan buruk kepada mereka yang minumnya.

Seorang pengamal ketum, Zakaria Salam, 63, dari Kampung Baru Ladang Tebu, Padang Terap, Kedah berkata, daun ketum digunakan keluarganya sejak tahun 60-an untuk merawat antaranya penyakit cacing, lengoh, keletihan dan ketagihan dadah.

"Ketum mendapat nama buruk apabila air rebusannya dicampur dengan pelbagai bahan termasuk racun paraquat, ubat gegat, ubat nyamuk, Coca Cola untuk menambah 'power' dan menyebabkan peminumnya menjadi khayal," katanya.

Pekebun kecil getah, Ahmad Rosli Ismail juga dari Padang Terap berkata ramai pekebun kecil bergantung kepada hasil jualan ketum untuk kehidupan ketika harga getah merudum sekarang. - BERNAMA

Berita Harian X