Selasa, 16 Ogos 2016 | 8:17am

89 penagih ditahan dalam Ops Cegah

KUANTAN: Seramai 89 penagih ditahan dalam Ops Cegah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang di sekitar bandar ini, awal pagi tadi.

Operasi yang bermula jam 11 malam tadi dan berakhir kira-kira jam 6 pagi itu diketuai Pengarah AADK negeri, Abdul Ghani Abdul Rahman, bersama 70 pegawai dan anggota melakukan pemeriksaan serta serbuan di tujuh lokasi di daerah ini.

Abdul Ghani berkata, mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 59 tahun, termasuk seorang lelaki dipercayai pengedar dadah.

"Kita melakukan pemeriksaan dan serbuan di kawasan FELDA Lepar Hilir 1, Jaya Gading, Tanjung Lumpur, Beserah, FELDA Bukit Goh, Tanah Putih dan sekitar bandar Kuantan.

"Hasil pemeriksaan, kita menahan 89 suspek dipercayai penagih dadah iaitu 86 lelaki dan tiga wanita.

"Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM8,500 daripada seorang suspek lelaki yang dipercayai pengedar dadah dan merampas dadah jenis syabu seberat 100 gram," katanya ketika ditemui media selepas Ops Cegah di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), dekat sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, semua suspek ditempatkan di pusat tahanan AADK untuk tujuan dokumentasi dan soal siasat.

Katanya, operasi akan diteruskan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Pahang.

96 dibaca
Berita Harian X