Selasa, 16 Ogos 2016 | 10:02am

PAS cuba cipta persepsi


PAS membentuk Gagasan Sejahtera.

KUALA LUMPUR: Tindakan PAS membentuk Gagasan Sejahtera (Gagasan), blok politik pembangkang baharu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dilihat sebagai cubaan mencipta persepsi bahawa parti siasah itu tidak bersendirian dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kerjasama yang dibentuk dalam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mendorong penubuhan Gagasan Sejahtera walaupun IKATAN yang diterajui bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, belum terbukti memiliki kekuatan politik setanding parti lain.

Menyifatkan tindakan itu sebagai strategi politik bijak PAS, penganalisis politik, Prof Madya Dr Azmi Hassan, berkata PAS berusaha meyakinkan rakyat bahawa tanpa PH, mereka mampu meneruskan perjuangan politik bersama gandingan lain.

Tanpa Gagasan, katanya, PAS boleh menjadi penentu atau 'king maker' dalam PRU-14, sama ada untuk BN mahupun PH berdasarkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.


Prof Madya Dr Azmi Hassan

"Dalam kedua-dua PRK itu, PAS berupaya memusnahkan harapan PH dan secara tidak langsung membantu BN. Jika PAS bijak membuat percaturan politik, mereka boleh menggunakan platform Gagasan, selain menjalinkan kerjasama dengan PH atau BN.

"Oleh kerana Parti Amanah Negara berada dalam PH, kerjasama dilihat lebih menjurus dengan BN. Senario politik ini membuatkan kewujudan Gagasan lebih memberi manfaat positif kepada BN berbanding PH, namun semua ini bergantung kepada pilihan PAS," katanya kepada BH.

Sabtu lalu, PAS secara rasmi membentuk blok persefahaman politik pembangkang baharu bersama IKATAN dikenali sebagai Gagasan, alternatif kepada PH bagi menghadapi PRU-14.

Menyifatkan PH gagal menjadi wadah politik rakyat kerana menekankan budaya politik emosi, politik melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata Gagasan menyediakan platform baharu kepada landskap politik negara.

Azmi berkata, kewujudan Gagasan mampu melemahkan penguasaan politik PH kerana adalah mustahil PAS akan membantu PH memenangi PRU-14 dengan adanya DAP dan Parti Amanah Negara.

Walaupun IKATAN belum terbukti mempunyai kekuatan politik seperti parti sedia ada, katanya, penyertaan dalam Gagasan sedikit sebanyak membantu PAS memperkukuhkan pengaruhnya dalam politik negara.

"Bahasa mudahnya, PAS adalah seteru Parti Amanah Negara dan DAP, maka kewujudan Gagasan akan memanfaatkan BN," katanya.

Berita Harian X