Selasa, 16 Ogos 2016 | 10:43am
IDRIS bersama Abdul Rahim (kanan) dan Presiden dan Wan Zulkiflee (tiga dari kiri) mendengar penerangan daripada Jurutera Robotik Robopreneur, Dr Ali Abd Almisreb pada pameran sempena ESTCON 2016 di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Abdullah Yusof

Perkasa kejuruteraan kimia lonjak penarafan universiti

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan pemerkasaan bidang kejuruteraan, khususnya dalam industri kimia untuk melonjak penarafan universiti ke kelompok 100 teratas dunia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) setakat ini melakar pelbagai kejayaan serta berada di landasan tepat dalam bidang penyelidikan kejuruteraan kimia.

Katanya, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) juga tidak ketinggalan dalam mengharumkan negara, khususnya menerusi penyelidikan kejuruteraan kimia dan bidang yang relevan dengan pasaran semasa.

"Sehubungan itu, kita mahu universiti di Malaysia membuka pintu kerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi lain, sama ada pada peringkat tempatan atau antarabangsa untuk meraih pelbagai manfaat.

"Kita ingin meneroka bidang lain menerusi kolaborasi sama seperti kepemimpinan dan sains alam sekitar yang ternyata berupaya melonjak penarafan institusi pengajian tinggi.

Kebaikan sejagat

"Rantaian impak kejayaan ini akhirnya memacu kualiti institusi pengajian tinggi, selain menjana manfaat untuk kebaikan manusia sejagat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Teknologi, Sains dan Kejuruteraan Dunia (ESTCON) 2016, semalam.

Yang turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Seri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Canselor UTP, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim.

ESTCON 2016 bertema Kejuruteraan, Sains, Teknologi dan Kemanusiaan: Titik Pertemuan Demi Masa Depan Yang Lestari berlangsung selama tiga hari hingga Rabu ini membabitkan 1,200 peserta dari lebih 40 negara, selain 24 pempamer.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata pelbagai rangkaian kerjasama dan peluang inovasi untuk manfaat penggiat industri serta agensi diwujudkan sejak penganjuran pertama ESTCON pada 2010.

Kongres dwitahunan itu, katanya, turut memanfaatkan kumpulan penyelidik di negara ini kerana mereka berpeluang membentangkan produk untuk penilaian panel antarabangsa, sekali gus melonjak peluang dalam menembusi pasaran global.

"Ketika ini, kita ada 40 projek penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersialkan menerusi pelabur daripada industri komunikasi dan teknologi, peranti elektrik dan elektronik, sains kejuruteraan mekanikal serta bahan," katanya.

Berita Harian X