Rabu, 17 Ogos 2016 | 12:00am

Syar Meezee dikatakan biadap kerana bahasa isyarat

PERNAH dituduh bersikap kurang ajar dan disuruh berhenti menggunakan bahasa isyarat ketika program dakwah berlangsung di sebuah masjid dengan sebahagian khalayaknya terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU) antara pengalaman pahit dikongsi jurubahasa isyarat, Syar Meezee Mohd Rashid.

Katanya, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak memahami keperluan masyarakat OKU dalam hal agama sehingga kewujudan mereka dilupakan dalam majlis ilmu seperti ceramah dan forum agama kerana kebanyakannya tidak menyediakan jurubahasa isyarat sebagai alat bantu.

Beliau yang ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, semangat untuk mendalami bahasa isyarat secara serius timbul ketika menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) kerana ada rakan sekelasnya yang cacat pendengaran terpinga-pinga kerana tidak memahami ilmu disampaikan pensyarah.

"Melihat rakan itu yang duduk bersendirian dalam kelas dan tidak ada yang dilihat cuba membantu, saya mengambil keputusan mempelajari bahasa isyarat asas iaitu terjemahan menggunakan abjad dan kemudian meneruskan pengajian dalam pengkhususan cacat pendengaran.

"Lebih lima tahun setengah di IPG, ketika pelajar lain tekun menyalin nota sepanjang pensyarah menyampaikan kuliah, saya sibuk menterjemah setiap butir kata untuk rakan OKU itu dan hanya mengulangkaji sendirian selepas kelas berakhir," katanya.

Katanya, memang sukar untuk menemui guru agama dan pendakwah yang mahir menggunakan bahasa isyarat dan ia sekali gus menambah kesukaran golongan OKU yang berminat mempelajari ilmu agama secara intensif.

OKU tidak diraikan

Menurut Syar Meezee, kehadiran golongan OKU masih tidak diraikan terutama dalam program ceramah kerana tidak disediakan khidmat jurubahasa yang mahir dan ini secara tidak langsung membantutkan hasrat mereka untuk mendekati masjid.

Bukti jelas apabila beliau sendiri pernah dihalau oleh seorang tua dalam program ceramah di masjid tidak menghormati pendakwah yang sedang memberikan ceramah dengan menggunakan bahasa isyarat. Walaupun cuba dijelaskan beliau hanya membantu OKU, tetap tidak dihiraukan.

"Sebaliknya saya diminta melakukan penterjemahan bahasa isyarat itu selepas ceramah tamat. Jurubahasa isyarat bukan saja memainkan peranan penting dalam menyampaikan ilmu agama, sebaliknya khidmat mereka amat diperlukan dalam konteks kekeluargaan, perniagaan dan perundangan Islam," katanya.

Berbekalkan kelebihan mengetahui bahasa isyarat, beliau sering dipanggil oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk membantu sesi kaunseling membabitkan OKU yang berhadapan kes perceraian dan murtad.

Katanya, peranan jurubahasa isyarat agama lebih sukar kerana mereka perlu menyampaikan soal hukum dan prinsip dalam Islam dengan betul, bahkan perlu mempersiapkan diri dengan ilmu terutama memahami istilah Islam yang sesetengahnya menggunakan bahasa Arab.

Sukar cerita alam ghaib

"Paling sukar untuk menyampaikan perkara abstrak. Bayangkan untuk menceritakan soal syurga dan neraka saja sudah memeningkan kepala. Watak seolah berada di neraka saya menjerit, bergolek dan terbaring seakan sedang menerima seksaan berat bagi memberi pemahaman jelas kepada mereka," katanya.

Beliau yang turut menjadi jurubahasa isyarat bagi program 30 Minit Bersama Ustaz Don di stesen televisyen AlHijrah itu berharap lebih ramai dalam kalangan masyarakat Islam terbuka hati untuk mempelajari bahasa isyarat dengan niat murni membantu golongan OKU.

Masih terlalu sedikit pihak yang tampil dengan inisiatif menganjurkan kelas bahasa isyarat, manakala kebanyakan pertubuhan OKU lebih tertumpu kepada pelaksanaan program untuk ahlinya sahaja.

Beliau melahirkan kesyukuran kerana Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bekerjasama dengan Yayasan FAQEH mewujudkan kursus Dakwah Tanpa Suara iaitu kelas bahasa isyarat kepada pelajar untuk mempelajarinya.

"Kita memerlukan lebih ramai pelajar dan agamawan daripada pelbagai bidang Islam termasuk syariah serta usuluddin untuk membantu mendekatkan OKU dengan agama. Ini fardu kifayah saya dalam usaha memastikan mereka tidak ketinggalan dalam ilmu agama," katanya.

PROFIL

  • Nama: Syar Meezee Mohd Rashid
  • Umur: 27 tahun
  • Tempat lahir: Kuala Lumpur
  • Jawatan: Pengurus Bahagian Latihan Dan Pendidikan, Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (FAQEH) dan Pengarah FAQEH Training & Consultancy
  • Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Pendidikan Khas Masalah Pendengaran) Institut Pengajian Guru (IPG), Master Falfasah Latihan Keguruan Dan Pendidikan Sains Universiti Malaya
  • Kepakaran: Latihan Keguruan Pendidikan Khas

61 dibaca
Berita Harian X