Rabu, 17 Ogos 2016 | 4:20pm

Wanita maut langgar lori


Jenazah pekerja kontrak perkhidmatan kebersihan di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh, Sofiah Ahmad, 57, dibawa keluar daripada Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis. - Foto Hafizudin Mohd Safar

ARAU: Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori di simpang tiga dekat Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, Sofiah Ahmad, 57, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5, maut di tempat kejadian kerana mengalami cedera parah.

Anak ketujuh mangsa, Nor Zulaikha Isa, 18, yang bekerja di kedai makan berdekatan dimaklumkan mengenai kejadian oleh rakannya.

"Saya bergegas ke lokasi kejadian tetapi mendapati polis sudah mengangkat jenazah emak," katanya ketika ditemui BH di Kampung Padang Telela, di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Padang Telela pada jam 11 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata lori dipandu lelaki berusia 45 tahun memasuki simpang ke sebuah bengkel membaiki kenderaan manakala mangsa menunggang motosikal di belakangnya, turut menuju laluan sama sebelum kemalangan berlaku.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

133 dibaca
Berita Harian X